Anda di sini

Anggota LSF berkawal di kawasan Mahkamah Kota Kinabalu

 Sebahagian daripada anggota FRU berkawal di hadapan Majistret pada Selasa.
TERKAWAL: Sebahagian daripada anggota FRU berkawal di hadapan Majistret pada Selasa.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan kawalan sepanjang berlangsungnya perintah tahanan reman terhadap beberapa ahli tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UMNO di pekarangan mahkamah di sini pada Selasa.

Dalam penugasan itu, sepasukan anggota Light Strike Force (LSF) iaitu sebuah pasukan antirusuhan kecil yang ditugaskan bagi menjaga ketenteraman awam sesebuah kawasan, bertugas di beberapa kawasan di mahkamah.

Pasukan LSF kelihatan mula membahagikan kumpulan seawal jam 9 pagi selepas menerima maklumat perhimpunan solidariti yang dianjurkan oleh ahli Parti Warisan di sepanjang kawasan masuk Mahkamah Kota Kinabalu.

Tinjauan Utusan Borneo di kawasan mahkamah mendapati orang ramai mula memenuhi kawasan itu pada jam 11 pagi berikutan perintah tahanan reman dijadualkan berlangsung pada jam 12.15 tengah hari.

Hasil temu bual terhadap beberapa ahli yang hadir mendapati ada yang datang dari daerah yang agak jauh termasuk Pitas, Sandakan dan Tawau bagi bersama-sama mengetahui keputusan yang akan dibuat terhadap pemimpin mereka.

Sebahagian pengunjung turut mengakui mereka sanggup datang ke sana (mahkamah) untuk meraikan jikalau Naib Presiden Parti Warisan yang direman sejak Jumaat akan dibebaskan pada hari itu.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan untuk melanjutkan perintah tahanan reman selama tiga hari lagi berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah belum diselesaikan.

Kira-kira jam 1 petang, orang awam yang ada di pekarangan mahkamah melakukan tepukan dan laungan ‘Sabah, Ubah’ ‘Undi, Warisan’ sebanyak tiga kali sebaik Ketua Pemuda Parti Warisan diiring dari kawasan balkoni mahkamah untuk dibawa ke Kamar Majistret.

Laungan sama turut diberikan kepada Naib Presiden Parti Warisan yang bergelar Datuk dan pengarah sebuah syarikat pembinaan sebelum memasuki Kamar Majistret kira-kira jam 2.15 petang.

Kehadiran ahli Parti Warisan yang dianggarkan kira-kira 200 hingga 300 orang bagaimanapun tidak menyebabkan keadaan huru-hara dan keadaan terkawal sehingga perhimpunan berakhir pada jam 3 petang.