Anda di sini

Amal ‘tabayyun’ sebelum sebar: Sapawi

Advertisement
 Tetamu jemputan dan peserta seminar tidak ketinggalan untuk bergambar bersama Sapawi (tengah).
BUAT KENANGAN: Tetamu jemputan dan peserta seminar tidak ketinggalan untuk bergambar bersama Sapawi (tengah).

KOTA KINABALU: Pengguna Internet khususnya generasi muda diingatkan supaya mengamalkan sikap ‘tabayyun’ iaitu menyemak atau memeriksa sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.

Exco Penerangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Sapawi Ahmad berkata, baru-baru ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melancarkan laman portal sebenarnya.my.

Portal ini memaklumkan kesahihan berita yang tular di media sosial dan salah satu usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu,” katanya.

Sapawi berkata demikian ketika berucap merasmikan program #negaraku: seminar Media Sosial Peringkat Negeri Sabah 2017 ‘The Social Media Affair’ di sini pada Selasa.

Menurutnya, sehingga kini SKMM mengenal pasti hampir 1,000 berita palsu yang tular di dalam negara.

Katanya, ia bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Menyemak kesahihan berita adalah sangat penting sebelum menyebarkannya. Perkara ini sangat mudah sebenarnya dan tidak perlu hingga wujudnya portal sebenarnya.my.

Hanya semak sumber berita terlebih dahulu dan pastikan ia dari sumber yang diyakini dan sahih. Tidak pasti jangan kongsi, itu sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata, menyebarkan cerita palsu dan fitnah senang sahaja tetapi apabila sedar kesilapan yang dibuat, susah untuk dikesan semula sehingga mana berita palsu berkenaan disebarkan.

Sehubungan itu katanya, lebih baik hentikan penyebaran berita yang tidak sahih dan fitnah.

Selain itu, beliau turut menjelaskan statistik aduan berkaitan media baharu menunjukkan peningkatan berhubung kandungan berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam serta jelik.

Sejak 2015 hingga Oktober 2016, SKMM berjaya menyekat sebanyak 5,044 laman web melibatkan pelbagai kesalahan yang melanggar Akta Komunikasi dan Muktimedia 1998.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,277 adalah laman web lucah, jelik dan mengancam keselamatan manakala 767 lagi berkaitan dengan perjudian, pelacuran, penipuan dan cetak rompak,” katanya.

Sapawi berkata, kerajaan melalui SKMM mengambil langkah proaktif bukan hanya untuk mengenal pasti dan menyekat akses kepada premis media sosial seperti siber kafe dalam talian yang menyebarkan propaganda pengganas.

Namun katanya, kerajaan turut mengenal pasti individu yang didapati menyokong ideologi sedemikian.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan masyarakat supaya mengambil peluang terhadap kemudahan teknologi bagi menjana pendapatan secara digital.

2017 adalah tahun ekonomi bagi Malaysia dan proaksi digital menerusi program-program usahawan dan e-rezeki berada di hadapan kita sepantas kilat.

Justeru beliau mahu masyarakat menghadapi dan menyesuaikan keadaan untuk berubah memandangkan sumbangan ekonomi digital Malaysia pada 2015 adalah 17.8 peratus.

Pihaknya yakin, menjelang 2020, negara mampu mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 18.2 peratus.

Lebih 300 peserta menyertai seminar anjuran Jabatan Penerangan (Japen) negeri Sabah dan SKMM melibatkan penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO), Komuniti 1Malaysia, blogger, dan mahasiswa.

Para peserta berpeluang mendengar perkongsian daripada tiga penceramah jemputan iaitu Timbalan Pengarah SKMM Irwan Ahmad Sabtu; personaliti media sosial Adam Shamil dan penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah Suwadi Guliling dan Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Labuan Mazlan Othman.

Advertisement