Anda di sini

JHS luluskan lebih 10 lesen memburu buaya

Advertisement
 Memperkukuh dan Mempelbagaikan Pembiayaan Kawasan Terlindung.
TUMPUAN MEDIA: Sapuan ketika ditemu bual pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Forum Inovasi, Inklusif dan Impak Serantau: Memperkukuh dan Mempelbagaikan Pembiayaan Kawasan Terlindung.

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah meluluskan lebih 10 lesen memburu buaya di negeri ini setakat semalam.

Pengarah JHS Sapuan Ahmad berkata kebanyakan lesen yang dikeluarkan adalah untuk pemohon dari kawasan Batang Lupar kerana di situ terdapat populasi buaya yang terlalu banyak.

Beliau memberitahu, pengeluaran lesen itu dibuat selepas Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Berhubung Flora dan Fauna Diancam Kepupusan (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan pada 1 Oktober 2016 yang menurunkan taraf buaya atau nama saintifiknya ‘Crododylus Porosu’ daripada Apendiks I kepada Apendiks II.

“Kita telah berjaya menurunkan taraf buaya daripada Apendiks I kepada Ependiks II, maknanya spesies tersebut boleh diburu, dibunuh dan diperdagangkan kulit serta dagingnya ke pasaran global.

“Setakat ini kami (JHS) telah mengeluarkan lebih 10 lesen memburu tetapi pemegang lesen ini mesti membuat laporan kepada kami tentang jumlah buruan mereka,” katanya sambil menambah, pemburuan mesti dilakukan menerusi acara yang lebih mesra dan menembak menggunakan senjata api tidak digalakkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Forum Inovasi, Inklusif dan Impak Serantau: Memperkukuh dan Mempelbagaikan Pembiayaan Kawasan Terlindung, di sini.

Sapuan bagaimanapun berkata, penurunan status buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II tidak memerlukan pindaan ke atas Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998 yang menyenaraikan spesies itu sebagai hidupan liar dilindungi.

“Ya, dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998, menyenaraikan buaya antara haiwan terlindung tetapi ada peruntukan dalam ordinan itu menyatakan kontroler (hidupan liar) iaitu saya boleh memberi kebenaran memburu dan membunuh buaya bagi tujuan melindungi diri,” katanya.

Beliau berkata walaupun lesen memburu buaya dikeluarkan, pemburuan sepenuhnya tidak berlaku kerana kebanyakan pemegang lesen sah khususnya dalam kalangan penduduk peribumi keberatan membunuh reptilia itu disebabkan pantang larang nenek moyang mereka.

Katanya lagi buat masa ini hasil buruan seperti kulit buaya belum lagi dieksport kerana pasaran yang sesuai belum dikenal pasti dan kebanyakan hasil buruan untuk kegunaan sendiri.

Mengenai populasi buaya di Sarawak, Sapuan berkata ia menunjukkan peningkatan ketara dan di kawasan tanah bencah Kuching sahaja setakat ini terdapat kira-kira 800 ekor buaya berbanding hanya 300 pada 2008.

Katanya antara faktor peningkatan ketara populasi reptilia itu ialah sungai tidak lagi menjadi jalan pengangkutan utama di Sarawak mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembiakan.

Tambahnya, seekor buaya betina dewasa boleh bertelur sehingga 80 biji.

  • oleh
  • Advertisement