Anda di sini

Dua dikhuatiri lemas

Sungai di mana kedua-dua mangsa dilaporkan hilang.
ARUS DERAS:Sungai di mana kedua-dua mangsa dilaporkan hilang.

SIMUNJAN: Cubaan seorang lelaki untuk menyelamatkan datuknya yang terjatuh ke dalam sungai Batang Sadong iaitu berdekatan Kampung Lubok Punggor di sini, tidak berjaya apabila turut dihanyutkan arus deras kelmarin.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku apabila mangsa yang hanya dikenali sebagai Kajim berusia 70 tahun menaiki bot dari Kampung Tegelam, di sini untuk menjemput cucunya Kalawin Jefferi, 27 tahun iaitu sekitar jam 6.30 petang Isnin lepas.

Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, bot yang dinaiki mangsa dikatakan melanggar sebatang kayu menyebabkan ia terbalik lalu mangsa terjatuh ke dalam sungai tersebut.

"Melihat kejadian tersebut (dari seberang sungai), cucunya (Kalawin) kemudian terus terjun ke dalam sungai bersama seorang rakannya untuk menyelamatkan mangsa yang terus hanyut dibawa arus deras.

"Cucunya yang tidak berputus asa kemudian meneruskan pencarian menyebabkan dia turut dihanyutkan arus deras tersebut," kata sumber yang turut memberitahu bahawa rakan kepada cucu mangsa berjaya berenang semula ke darat dan kemudian terus meminta bantuan.

Usaha mencari mangsa dan cucunya diteruskan sehingga malam, sebelum penduduk kampung melaporkan kepada pihak polis yang kemudian memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Lokasi pencarian operasi SAR semalam.
DI SINI:Lokasi pencarian operasi SAR semalam.

Jurucakap JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.14 malam hari kejadian dan terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kekuatan enam anggota serta turut dibantu penduduk kampung.

"Maklumat sehingga jam 3 petang hari ini (semalam), pegawai operasi memaklumkan bahawa operasi pencarian diperluaskan sehingga empat kilometer ke hulu dan hilir sungai tersebut.

“Arus sungai deras dan terdapat benak di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan anggota SAR belum menemui sebarang petunjuk dan operasi masih diteruskan.