Anda di sini

Sumbangan dan pengorbanan guru di pedalaman mendapat sanjungan

Advertisement

LONG SAN (Baram): Sumbangan dan pengorbanan guru ditempatkan di pedalaman khususnya di Baram mendapat penghormatan dan sanjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.

Menurut Dennis, ini kerana bukan mudah berkhidmat di luar bandar khususnya di kawasan hulu yang serba-serbi kekurangan kemudahan asas selain jauh dari segi pembangunan.

Saya hormat dan menyanjungi guru-guru yang sanggup berkorban, berdedikasi dan mempunyai komitmen tinggi mengajar di kawasan Hulu Baram meskipun banyak cabaran berikutan keadaan geografi dan topografi.

Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan jauh dan meletihkan melalui jalan balak, menyeberangi sungai, naik turun bukit dan pelbagai halangan namun ia tidak melemahkan semangat guru-guru mendidik anak-anak di sini,” katanya pada penutupan Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Zon Hulu Baram yang dihoskan Sekolah Kebangsaan (SK) St Pius di Long San dekat sini malam Sabtu lalu.

Majlis penutupan diadakan di Dewan Serba Guna SK St Pius menyaksikan sekolah tersebut muncul juara keseluruhan.

Acara itu bertujuan memilih sekolah mewakili Hulu Baram ke kejohanan MSSR di Marudi tahun depan.

Dennis menambah, adalah tidak wajar dan salah menganggap guru yang bertugas di pedalaman hanya tertarik dengan elaun dan insentif lebih besar berbanding elaun mengajar di kawasan bandar.

Kebanyakan mereka sedar dan tahu halangan dan cabaran menunggu perlu dihadapi mengajar di kawasan Telang Usan dan Baram,” katanya.

Sebaliknya, semua itu dilakukan kerana guru mempunyai komitmen dan dedikasi tinggi selain menyedari pentingya pendidikan sebagai ejen perubahan dan pembangunan komuniti di kawasan pedalaman.

Selain mengajar di kelas, guru juga sering menjadi sumber rujukan ketua masyarakat membantu menulis surat rasmi selain sumber pendapatan dengan membeli produk kebun dan hutan mereka.

Beliau turut menekankan pentingnya aktiviti kokurikulum dan akademik berjalan seiring bagi memastikan pembangunan seimbang kepada pelajar.

Hadir sama Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Hulu Baram Sintan Lugat, Guru Besar SK St Pius Jackson Meli dan Ketua Kampung Long San Lucia Paya.

Advertisement