Anda di sini

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga lancar

Advertisement

PT3 2017 melibatkan 39,657 calon, 201 pusat peperiksaan dibuka di seluruh Sarawak

 Antara 401 calon Pentaksiran Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan bersalaman dengan pengetua mereka, Bujang sebelum masuk ke bilik peperiksaan.
MOHON KEBERKATAN: Antara 401 calon Pentaksiran Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan bersalaman dengan pengetua mereka, Bujang sebelum masuk ke bilik peperiksaan.

KUCHING: Hari pertama peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) melibatkan 39,657 calon di seluruh negeri yang bermula semalam berjalan dengan lancar.

 Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon berkata kesemua 201 pusat peperiksaan bagi menjalankan ujian PT3 itu dibuka di seluruh Sarawak.

 Beliau menjelaskan daripada jumlah keseluruhan calon, seramai 38,237 calon PT3 dari sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan.

 “Manakala bagi sekolah swasta pula melibatkan 1,173 calon, calon perseorangan seramai 13 calon, sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia 220 calon dan 14 calon pula daripada sekolah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

 “Penting bagi pelajar (calon PT3) menduduki ujian ini sebagai peluang menilai kefahaman terhadap ilmu yang dipelajari untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

 Mengulas lanjut mengenai pusat peperiksaan yang dibuka, Rakayah memberitahu bahawa 182 daripada 201 pusat peperiksaan adalah sekolah kerajaan.

 “Sekolah swasta pula terdapat 13 pusat peperiksaan dibuka, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pula tiga pusat dan selebihnya sekolah akhlak yang mana kesemua pusat peperiksaan ini dibuka bermula hari ini,” jelasnya.

 Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan semalam mendapati semua calon melibatkan 401 calon PT3 hadir untuk menduduki peperiksaan tersebut.

 Majlis memohon doa keberkatan turut diadakan sebelum calon PT3 SMK Kota Samarahan masuk ke bilik peperiksaan.

 Pengetua SMK Kota Samarahan Bujang Awang Jamain ketika ditemui berkata jumlah semua calon itu melibatkan pelajar tingkatan tiga dan calon luar.

 “Saya berharap kesemua calon PT3 menjawab soalan dengan baik dan menduduki semua kertas ujian yang diberikan,” katanya sambil menambah ujian PT3 bagi sekolah itu bermula semalam hingga Rabu ini.

  • oleh
  • Advertisement