Anda di sini

Diesel haram dirampas

45,000 liter diesel dirampas hasil serbuan polis ke sebuah premis di Miri.

 Sebuah lori dengan kandungan 20,000 liter diesel turut dirampas.
BARANG KES: Sebuah lori dengan kandungan 20,000 liter diesel turut dirampas.

MIRI: Sejumlah 45,000 liter diesel dipercayai disimpan secara haram berjaya dirampas hasil serbuan polis ke sebuah premis dijadikan stor di Jalan Permyjaya Utama, Tudan di sini malam Sabtu lalu.

Turut dirampas sebuah lori tangki, menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM350,000.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri Superintenden Tan Hiap Seng dalam satu kenyataan semalam mengesahkan kes itu.

Katanya, sekitar jam 8.45 malam, 6 Oktober lalu sepasukan anggota Risikan BN 12 PGA Miri diketuai ASP Ho Chee Khun menjalankan Ops Libas melakukan intipan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Jalan Permyjaya Utama, Tudan di sini kerana disyaki menyimpan minyak diesel tanpa permit sah.

Pada jam 9 malam, pasukan serbuan mengetuk pintu pagar premis sambil memperkenal diri sebagai anggota polis namun tiada sahutan.

Setelah hampir 10 minit menunggu, mereka kemudian bertindak memanjat pagar dan memecahkan mangga pintu untuk masuk ke dalam bangunan premis tersebut,” katanya sambil memberitahu bahawa penjaga premis dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang setelah menyedari kehadiran polis.

Katanya hasil pemeriksaan dalam premis itu menjumpai sebuah lori tangki dengan muatan minyak diesel sebanyak 20,000 liter dan sebuah tangki dengan kandungan diesel dianggarkan 25,000 liter.

Berikutan itu, lori dan tangki serta kandungan diesel semuanya berjumlah 45,000 liter dan dipercayai disimpan secara haram di premis tersebut dijadikan stor kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes.

Satu laporan polis turut dibuat berhubung rampasan itu di Balai Polis Lutong.

Sehubungan itu, barang kes diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri semalam untuk tindakan lanjut.      

 Anggota serbuan Cawangan Risik BN12 PGA Miri memeriksa sebuah tangki mengandungi 25,000 liter diesel.
DIESEL HARAM: Anggota serbuan Cawangan Risik BN12 PGA Miri memeriksa sebuah tangki mengandungi 25,000 liter diesel.