Anda di sini

FAS berdepan penggantungan

Advertisement
 Posa (tiga kiri) bersama Exco FAS pada sidang media di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching semalam.
MAKLUMAT PENTING: Posa (tiga kiri) bersama Exco FAS pada sidang media di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching semalam.

Sekiranya gagal dapatkan lesen daripada FMLLP, tidak sertai Liga Super musim depan

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berdepan penggantungan daripada sebarang aktiviti bola sepak termasuk menyertai Liga Super pada musim depan sekiranya gagal mendapatkan lesen daripada Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

 Presiden FAS, Datuk Posa Majais menjelaskan masalah itu berpunca kegagalan pengurusan lama (FAS) mengemukakan laporan audit dari 2012 hingga 2016 kepada FMLLP sehingga sekarang.

 Menurutnya, jika pengurusan lama itu masih gagal mengemukakan laporan audit serta melunaskan hutang tertunggak pada 16 Oktober ini, FAS terpaksa menerima hakikat digantung daripada sebarang menyertai aktiviti bola sepak selama tiga tahun.

 “Kita masih membuat rayuan kepada FMLLP dan memohon pengurusan lama menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh seminggu ini.

 “Sekiranya ia tidak dapat diselesaikan kita berdepan penggantungan menyertai Liga Super tahun depan dan amat menyedihkan serta memberi implikasi besar kepada FAS,” katanya pada sidang media di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.

 Menjelas lanjut, Posa berkata pihaknya telah bermesyuarat dengan pengurusan lama pada 11 September lalu dan kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan masalah audit tersebut serta melunaskan hutang masing-masing.

 Bagaimanapun, sehingga kini pihak pengurusan lama masih gagal mengemukakan audit yang dituntut oleh FMLPP bagi membolehkan FAS mendapatkan lesen.

 Beliau menambah, pengurusan lama juga masih berhutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam jumlah yang besar.

 “Sekarang terserah kepada pengurusan lama untuk melengkapkan audit lama jika mereka masih sayang dengan bola sepak.

 Kita tidak mahu perkara ini menjejaskan pasukan Sarawak jika tidak diselesaikan,” katanya.

 Selain Sarawak, empat lagi pasukan iaitu Kelantan, Melaka United, Felda United dan Kedah turut berdepan risiko digantungkan lesen.

 Pada sidang media sama, Posa turut mengumumkan penangguhan tarikh Kejohanan Piala Sarawak yang dijadual berlangsung di Mukah pada 22 hingga 29 Oktober ini.

 Menurutnya, penundaan tarikh itu terpaksa dibuat kerana ia bertindih dengan perlawanan terakhir Liga Super 2017 menentang T-Team pada 28 Oktober ini di Stadium Negeri, Petra Jaya.

 “Kita masih belum memuktamadkan tarikh baharu namun dijangka diadakan pada pertengahan November depan,” katanya.

 Kejohanan bola sepak berprestij Sarawak itu bakal disertai 14 pasukan seluruh bahagian negeri ini.

  • oleh
  • Advertisement