Anda di sini

Maut di jalan raya

 Keadaan motosikal mangsa dalam kemalangan di Metro City.
TERPELANTING: Keadaan motosikal mangsa dalam kemalangan di Metro City.

KOTA SAMARAHAN: Gara-gara motosikal bergesel dengan sebuah motosikal lain, seorang pemandu van sewa meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 13, Jalan Datuk Mohd Musa di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa, Wan Putera Wan Hamid berusia 55 tahun dari Kampung Bukit Berangan, di sini meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS).

 Isteri mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kota Samarahan tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
PARAH: Isteri mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kota Samarahan tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, mangsa semasa kejadian bersama isterinya menunggang motosikal apabila bergesel dengan sebuah motosikal lain dari arah belakang menyebabkan mereka berdua terjatuh.

“Kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi seorang lelaki dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan motosikal yang ditunggangi mangsa (Wan Putera) dan dibonceng seorang wanita dipercayai isteri mangsa sekitar jam 10.05 malam.

“Kedua-dua motosikal tersebut dari arah yang sama iaitu dari Kota Samarahan menuju ke Kota Sentosa semasa kemalangan tersebut berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambah Bingkok, mangsa dan isterinya serta penunggang sebuah lagi motosikal masing-masing diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik yang tiba lokasi kejadian.

“Mangsa dibawa ke Pusat Jantung HUS dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan, manakala pembonceng dan penunggang sebuah lagi motosikal dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Meranek di sini, semalam.

 Pembonceng wanita meninggal dunia dalam nahas di Jalan Sibu-Bintulu.
TERBUNUH: Pembonceng wanita meninggal dunia dalam nahas di Jalan Sibu-Bintulu.

Sementara itu di Kuching, seorang warga emas terbunuh apabila dirempuh sebuah kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat di persimpangan lampu isyarat Jalan Matang-Metro City, sekitar jam 7 pagi semalam.

Bingkok memberitahu, kejadian berlaku apabila pemandu kereta terbabit dipercayai gagal memberhentikan keretanya ketika lampu isyarat bertukar kuning lalu merempuh mangsa yang menunggang motosikal.

“Pemandu kereta dipercayai meneruskan pemanduan apabila lampu isyarat bertukar kuning lalu merempuh mangsa yang keluar dari satu persimpangan menyebabkan dia tercampak dari atas motosikal dan mengalami kecederaan parah,” kata Bingkok.