Anda di sini

Penjual sayur rentung

Advertisement

Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah di Kota Sentosa.

 Keadaan rumah tersebut yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut semalam.
MUSNAH: Keadaan rumah tersebut yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut semalam.
 Anggota bomba mengangkat mayat mangsa dari tempat kejadian untuk dihantar ke HUS.
TRAGIS: Anggota bomba mengangkat mayat mangsa dari tempat kejadian untuk dihantar ke HUS.

KUCHING: Seorang penjual sayur di pasar basah Batu 7 ditemui rentung dalam kebakaran selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri apabila rumah yang didiaminya di Jalan Batu Perak, Kota Sentosa di sini terbakar malam kelmarin.

Lelaki berusia 30-an yang hanya dikenali sebagai Afendi dikatakan seorang diri semasa kejadian memandangkan ibu bapa serta abangnya pulang ke kampung sejak dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur rumah semasa operasi pemadaman dilakukan oleh pihak bomba sekitar jam 10.45 malam.

Menurut Merbin, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada api pelita.

Kebakaran mungkin berpunca daripada api pelita memandangkan rumah jenis separuh kekal tersebut tiada bekalan elektrik. Setakat ini, siasatan mendapati tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau turut memberitahu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mayat mangsa kini masih di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya yang turut memberitahu pihaknya masih menunggu waris mangsa untuk membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.21 malam.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, 18 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang serta BBP Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam api.

Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak dan operasi memadam kebakaran terus dijalankan dan tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam,” katanya.

Siasatan oleh Unit Forensik Kebakaran JBPM juga masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

 Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.
API MARAK: Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.
  • oleh
  • Advertisement