Anda di sini

‘Neraka’ tiga tahun

Advertisement
 Pemandangan dari hadapan rumah sepasang suami isteri yang dipercayai mengurung buruh paksa warga Indonesia hampir tiga tahun.
DI SINI: Pemandangan dari hadapan rumah sepasang suami isteri yang dipercayai mengurung buruh paksa warga Indonesia hampir tiga tahun.

BINTULU: Penderitaan hampir tiga tahun 13 buruh paksa warga Indonesia yang dikurung di dalam bilik khas sebuah rumah di Jalan Sebiew di sini berakhir setelah kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu dalam satu serbuan sekitar jam 2.45 petang kelmarin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar, semasa serbuan itu polis menemui mangsa terdiri daripada 11 perempuan dan dua lelaki di dalam bilik khas yang dikunci dari luar oleh sepasang suami isteri berumur 53 dan 59 tahun iaitu pemilik rumah berkenaan.

“Sejurus pihak JSJ berjaya memasuki bilik khas itu, didapati kesemua mangsa turut menangis dan merayu agar dilepaskan kerana tidak tahan lagi hidup terkurung di dalam bilik yang diumpamakan neraka sejak sekian lama,” ujarnya sambil menambah dua daripada perempuan terbabit masih di bawah umur berusia 15 dan 16 tahun.

“Tujuh mangsa memiliki pasport tetapi telah tamat tempoh, manakala enam lagi tiada dokumen perjalanan. Pasport mereka ditahan oleh kedua-dua suspek dan telah dirampas polis.”

 Anggota polis JSJ memotong mangga kunci pintu masuk ke bilik  berkenaan semasa serbuan dilakukan.
SERBU: Anggota polis JSJ memotong mangga kunci pintu masuk ke bilik berkenaan semasa serbuan dilakukan.

Beliau berkata, pihak JSJ yang diketuai oleh Inspektor Nixon Malang terpaksa memotong mangga kunci di pintu pagar hadapan untuk memasuki rumah teres satu tingkat itu sebelum memecah pintu bilik khas lokasi di mana kesemua mangsa terbabit dikurung.

Menurut Dev, pihaknya telah menahan suami isteri berkenaan yang turut berada di rumah itu semasa serbuan dijalankan kerana disyaki memperdagangkan orang bagi tujuan dijadikan buruh paksa.

Beliau berkata, semasa serbuan itu, isteri suspek turut mengugut serta mengeluarkan kata-kata lucah terhadap pihak polis.

 Anggota polis JSJ menyerbu ke rumah terbabit sejurus pintu utama rumah itu berjaya dibuka.
BERJAYA DIBUKA: Anggota polis JSJ menyerbu ke rumah terbabit sejurus pintu utama rumah itu berjaya dibuka.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipaksa oleh suami isteri itu menjalankan kerja-kerja membersih sarang burung tanpa dibayar gaji, malah kadang kala dipukul oleh kedua-dua mereka jika kualiti kerja tidak memuaskan.

Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 10 Oktober ini, manakala kesemua mangsa telah dihantar ke rumah perlindungan sementara menunggu tindakan selanjutnya, jelasnya.

Kes ini, katanya, disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

 Pasangan suami isteri tersebut dibawa keluar dari Mahkamah Bintulu semalam selepas tahanan reman tujuh hari diluluskan.
REMAN: Pasangan suami isteri tersebut dibawa keluar dari Mahkamah Bintulu semalam selepas tahanan reman tujuh hari diluluskan.
  • oleh
  • Advertisement