Anda di sini

Sikap berintegriti tinggi bantu warga pendidikan terus dihormati

Advertisement

BETONG: Sikap berintegriti tinggi menjadikan warga pendidikan dihormati dalam apa jua bidang dilaksana kerana ia memainkan peranan penting selarasdengan peredaran masa dan tanggungjawab masing-masing.

Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon menegaskan bahawa sikap mulia dan fokus melaksanakan tanggungjawab masing-masing terbukti memberi ganjaran setimpal dan menjadikan mereka terus dipercayai.

Jelasnya, UPSR berlangsung baru-baru ini telah membuktikan sikap integriti dalam kalangan guru menjadi kelangsungan peperiksaan tiada cacat celanya.

Kerisauan kita terhadap tanggungjawab sebagai pihak yang mengawasi UPSR dari awal hingga akhir itu agak mendebarkan namun kerana nilai integriti yang tinggi ada dalam diri masing-masing menjadikan proses peperiksaan itu lancar,” katanya.

Jelasnya, nilai ditunjuk menjadikan kita mencapai prosedur operasi standard (SOP) pengendalian UPSR tanpa ada keraguan dan cacat celanya. Sebaliknya keputusan UPSR 2017 dinanti Oktober ini amat mendebarkan kepada saya, namun percaya debaran lebih terasa dalam kalangan guru.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada penangguhan rasmi Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Sarawak Ke-37 yang di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong, di sini malam Sabtu lalu.

Tambahnya, seramai lebih 68,000 warga pendidik termasuk guru dan anggota kakitangan pelaksana menjalankan tanggungjawab yang telah diamanah dengan sebaiknya.

Saya ada lagi lapan bulan dalam perkhidmatan bagi melengkapkan misi saya membangunkan infrastruktur sekolah termasuk guru di negeri ini,” katanya.

Rakayah yang juga presiden PSKPP Negeri Sarawak berkata, penganjuran pesta tahunan disambut meriah sebagai ruang bertemu rakan dari 12 bahagian merangkumi 31 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak.

Aktiviti sebegini merupakan satu riadah mengeratkan silaturrahim termasuk peluang untuk berbincang perkara sama tetapi tidak serupa di daerah masing-masing khususnya mengenai kemenjadian murid yang bakal pewaris kita suatu hari nanti.

Dalam pada itu, tiada dana khas diperuntuk bagi menganjurkan majlis tetapi terpulang kepada kebijaksanaan pengelola mencari dana diperlukan. Selain itu, hasil sumbangan RM3 seorang setahun daripada warga pendidikan digunakan untuk mengendali program,” jelasnya.

Jelasnya, kehadiran lebih 3,000 warga pendidikan menyertai PSKPP Sarawak kali ini, mampu menjana ekonomi masyarakat setempat, justeru banyak daerah suka apabila mendapat giliran pengelolaan.

Pada tahun lepas PSKPP Sarawak menghantar 135 peserta dengan 10 acara disertai dan menduduki tempat ke-8 daripada 13 penyertaan negeri. Tahun ini saya harap dapat menerima cabaran  menyertai lebih lagi acara dan mendapat keputusan lima terbaik pada temasya Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (MSKPN) yang akan berlangsung di Negeri Sembilan pada 12 hingga 17 Disember nanti,” ujarnya.

PAda majlis tersebut turut diadakan pertandingan karaoke seterusnya pengumuman keputusan.

Majlis penyerahan bendera kejohanan turut diadakan di mana PSKPP Cawangan Mukah menjadi pengelola PSKPP Sarawak Ke-38 pada 2018.

Turut hadir PPD Saratok Sufian Ekram, Timbalan PPD Betong Aleksey Aman, wakil Residen Bahagian Betong SAO Lawrence Bulan, wakil Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak(PPSMS) Negeri Sarawak Limok Sham,  Pengerusi PPSMS Bahagian Betong Ujai Sambau, ketua sektor dan jabatan, pengetua, guru besar serta pegawai dan kontinjen mengambil bahagian.

Advertisement