Anda di sini

Usahawan perlu bekerjasama dengan universiti bangunkan teknologi dalam perniagaan: MTDC

 Norhalim (kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah Christina Foo bercakap kepada pemberita sejurus selepas merasmikan MTDC Road2Growth 2017 semalam. — Gambar Bernama
TEMU BUAL: Norhalim (kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah Christina Foo bercakap kepada pemberita sejurus selepas merasmikan MTDC Road2Growth 2017 semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menggalakkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bekerjasama dengan universiti termasuk institusi penyelidikan tempatan bagi menyuntik serta membangunkan teknologi dalam perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan potensi perniagaan para usahawan IKS di negara ini sekali gus memastikan produk mereka tidak hanya berada dalam pasaran domestik tetapi berupaya menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata revolusi industri ketika ini amat memerlukan para usahawan menerapkan elemen teknologi dan inovasi dalam perniagaan mereka.

“Universiti dan institusi penyelidikan tempatan mempunyai ramai pakar yang menghasilkan R&D (penyelidikan dan pembangunan) terhadap sesuatu industri. Justeru, usahawan IKS digalak untuk menggunakan kesemua sumber itu, yang mungkin ada yang belum diterokai, bagi menyuntik aspek teknologi dan inovasi dalam perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program MTDC Road2Growth, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Norhalim berkata, kerjasama itu juga mampu memanfaatkan sepenuhnya usaha pembangunan dan penyelidikan yang dibuat oleh ahli akademik tempatan seterusnya mengurangkan kebergantungan para usahawan kepada teknologi dan inovasi yang dihasilkan negara luar.

Menurutnya, MTDC, yang merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, sentiasa bersedia menjadi platform memperkasa kerjasama antara usahawan IKS dan universiti bagi membolehkan hasil penyelidikan di makmal dikomersialkan ke pasaran.

“Kami boleh membantu memadankan usahawan IKS dengan kepakaran dan universiti yang tepat. Namun, usahawan perlu terlebih dahulu mengenal pasti apakah teknologi sesuai untuk syarikat mereka yang boleh digunakan secara strategik dalam memberi hasil optimum untuk bersaing dalam pasaran,” katanya.

Mengenai program MTDC Road2Growth, Norhalim berkata, jerayawara sehari itu adalah platform untuk memberi pendedahan kepada para usahawan di Sabah tentang perkhidmatan ditawarkan perbadanan tersebut dalam membantu mereka mengembangkan perniagaan dan seterusnya menjadi usahawan tekno.

Menurutnya, kehadiran seramai 150 peserta pada program tersebut membuktikan kesedaran para usahawan tempatan Sabah terhadap kepentingan menggunakan teknologi dan inovasi dalam perniagaan semakin meningkat dan beliau berharap kesedaran tersebut diterjemahkan dalam perniagaan mereka.

Program seumpama itu turut akan diadakan di Kuching, Sarawak, pada Khamis ini. — Bernama