Anda di sini

Petani diberi modal

Advertisement
 Uggah (tengah) membuka buah durian menggunakan mesin yang dicipta khas sebagai simbolik Majlis Perasmian Hari Bersama Pelanggan MARDI Sarawak 2017 di pejabat MARDI Sarawak di Kuching semalam. Turut kelihatan Sharif (kiri).
CANGGIH: Uggah (tengah) membuka buah durian menggunakan mesin yang dicipta khas sebagai simbolik Majlis Perasmian Hari Bersama Pelanggan MARDI Sarawak 2017 di pejabat MARDI Sarawak di Kuching semalam. Turut kelihatan Sharif (kiri).

KUCHING: Dana RM100 juta yang diluluskan untuk modal teroka bagi membantu petani di negeri ini mendapatkan modal membangunkan tanah dalam bidang pertanian akan mula dilaksanakan tahun depan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kerajaan negeri kini sedang dalam proses memuktamadkan mekanisme bagi pelaksanaannya.

“Ini merupakan pendekatan baharu kita untuk membantu pemilik tanah termasuk tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) membangunkan tanah dalam bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Bersama Pelanggan MARDI Sarawak 2017 di pejabat MARDI Sarawak di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Buckland Bangik dan Pengarah MARDI Sarawak Mohammad Noor Adros Yahya.

Menjelas lanjut, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata kaedah modal teroka tersebut akan membabitkan kerjasama antara pemilik tanah dengan agensi pertanian yang akan dilantik.

Tambah beliau, kerajaan negeri hanya menyediakan modal di mana apabila projek tersebut berjaya serta mendapat keuntungan, agensi terlibat akan menjual syer kepada pemilik tanah.

“Dengan itu, pemilik tanah akan memiliki syarikat serta mendapat keuntungan sendiri,” katanya.

Justeru, beliau berharap dengan pelaksanaan modal teroka kelak, ia akan dapat memberi pulangan yang baik serta meningkatkan pendapatan pemilik tanah.

“Dengan kejayaan melalui projek yang dilaksanakan, kita berharap dapat membasmi kemiskinan di kalangan pemilik tanah terutama di luar bandar,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement