Anda di sini

Dua tahun bergelap, Kampung Chuweh Baru kini diterangi cahaya elektrik

Advertisement

GERIK: “Malam-malam kami hanya duduk di rumah, tak boleh buat aktiviti lain sebab seluruh kampung gelap gelita, hanya pakai lilin sahaja,” luah penduduk Kampung Chuweh Baru, Abeng Patung. Abeng, 81, merupakan seorang daripada 143 penduduk Orang Asli suku Jahai dari Desa Orang Asli Temenggor, yang terpaksa hidup dalam kegelapan selepas program penempatan semula komuniti itu di Kampung Chuweh Baru dibuka dua tahun lepas.

Abeng berkata penduduk di kampung itu perlu menyiapkan segala urusan sebelum menjelang senja kerana kampung tersebut seakan ‘mati’ pada waktu malam kerana ketiadaan elektrik. “Waktu malam, semuanya tidur awal...sunyi sepi seluruh kampung ini.

Kalau nak mandi, makan atau ke rumah jiran, kami perlu buat waktu hari cerah sebab malam-malam kampung gelap, takut bertembung haiwan liar,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah wajah apabila kesemua 20 rumah yang dihuni 27 keluarga Orang  Asli itu kini dilengkapi bekalan elektrik hasil kerja berpasukan yang dilaksanakan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), minggu lepas.

Tok Batin Desa Orang Asli Tasik Temenggor, Kawah Carang berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada MBAM yang turun padang membantu penduduk tersebut mendapatkan bekalan elektrik.

Saya amat seronok sebab sekarang kampung dah ada elektrik. Saya bersyukur banyak-banyak pada kamu orang (semua orang) yang tolong kami di kampung ini.

Mereka (MBAM) datang ramai-ramai, gali kabel bawah tanah dari dalam hutan dan pasang lampu di rumah-rumah...sekarang kami tak gelap lagi,” katanya kepada pemberita sempena Program MBAM CSR 2017 di sini.

Kawah berkata selain mendapat bekalan elektrik, MBAM turut memasang paip serta menyumbangkan dua tangki air di kampung berkenaan.

Sebelum ini kami tak ada paip air di rumah...semuanya menggunakan air tasik.

Kalau nak masak atau minum, terpaksa ke tasik untuk dapatkan air kemudian kena rebus. Dua bulan lepas, kami berusaha keluarkan modal sendiri sebanyak RM20,000 untuk salurkan air paip ke setiap rumah.

Syukur, kami berjaya laksanakannya dan MBAM berikan kami tangki besar untuk simpanan air...jadi kami tak perlu risau, dua tangki tersebut boleh memuatkan banyak air,” katanya.

Naib Presiden MBAM Chung Soo Kiong berkata program yang bertujuan menaik taraf kehidupan golongan masyarakat pribumi itu merupakan antara satu program CSR yang dilaksanakan secara tahunan sejak tiga tahun lepas.

Walaupun kami menghadapi kesukaran pada awalnya untuk membawa tangki air yang besar dari bawah bukit ke atas tempat rumah penduduk, tapi semuanya berjalan lancar hasil kerja berpasukan.

Kami turut menggali kabel elektrik bawah tanah sejauh 400 meter melalui kawasan hutan di sekitar tasik. Saya puas bila dapat membantu penduduk Orang Asli ini...mereka sangat memerlukan bantuan,” katanya.

Selain Kampung Chuweh Baru, MBAM turut mengagihkan dua lagi tangki air ke Kampung Chuweh yang dapat memuatkan lebih 1,000 gelen (3,785 liter) air setiap satu, serta menyediakan kipas, rak buku, alat tulis, pakaian dan mainan untuk Kampung Tebang dengan peruntukan kira-kira RM150,000 yang dikumpul daripada sumbangan komuniti MBAM.

Chung berkata MBAM akan terus komited dalam melaksanakan program CSR bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Dua tahun lepas kita laksanakan kerja-kerja pembersihan sungai di kawasan Sungai Pisang, Selangor dan penanaman semula pokok bakau di Kuala Selangor.

Selepas ini kita akan terus laksanakan program CSR yang melibatkan komuniti,” katanya. — Bernama

Advertisement