Anda di sini

Yu hidup dirampas

Advertisement
 Seorang awak-awak warga Vietnam menunjukkan ikan yu cicak yang masih hidup dan dirampas oleh APMM.
TUNJUK: Seorang awak-awak warga Vietnam menunjukkan ikan yu cicak yang masih hidup dan dirampas oleh APMM.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Miri (DM13) berjaya merampas sebanyak 315 ikan yu hidup disembunyi dalam sebuah bot nelayan tempatan yang ditahan dalam satu operasi di perairan Miri di sini, pada 19 September lalu.

Pengarah Maritim DM13 Kapten Maritim Md Fauzi Othman mengesahkan bahawa bot nelayan dengan nombor pendaftaran VIVI 1/OMY 8892 itu, ditahan pada jarak 60 batu nautika dari Sungai Miri, jam 6.05 petang, 19 September lalu kerana disyaki dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua 315 ikan yu hidup dianggarkan bernilai RM10,000 mengikut harga pasaran, berjaya ditemui dan dirampas anggota penguat kuasa dipercayai untuk pasaran di seluruh negeri,” katanya.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan APMM turut menemui bekalan makanan dipercayai cukup untuk tempoh sebulan, sekali gus tidak menolak kemungkinan bot berkenaan turut merancang menjual hasil tangkapan ke luar negara.

 Bot nelayan tempatan dengan kru warga asing diiring ke PTV di Pulau Melayu oleh pihak APMM DM13 pada 19 September lalu.
DITAHAN: Bot nelayan tempatan dengan kru warga asing diiring ke PTV di Pulau Melayu oleh pihak APMM DM13 pada 19 September lalu.

Beliau menambah kata, kesemua ikan yu tersebut daripada spesies yu cicak disimpan dalam enam kontena plastik yang besar. 

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan juga mendapati ia tidak  mempunyai nakhoda seperti dalam lesen dan tidak memiliki dokumen pelayaran yang sah,” tambahnya.

Malah bot tersebut didapati telah belayar melebihi had pelayarannya iaitu dari Bintulu hingga ke Long Xuyen di Vietnam.  

Selain ikan yu hidup, APMM turut merampas hasil tangkapan ikan lain sebanyak 2,000kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM20,000.

 Kesemua ikan yu hidup itu disimpan dalam enam kontena yang diletakkan dalam bot berkenaan.
KONTENA: Kesemua ikan yu hidup itu disimpan dalam enam kontena yang diletakkan dalam bot berkenaan.

Menurut Md Fauzi lagi, lima awak-awak warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 62 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan manakala bot nelayan terbabit dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Pulau Melayu di sini, untuk siasatan lanjut.

“Bot nelayan tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/1960,” katanya.

Di samping bot nelayan tersebut, beliau memberitahu bahawa pihak APMM turut menahan sebuah lagi bot nelayan di lokasi yang sama, namun setelah diperiksa didapati tidak melakukan sebarang kesalahan dan telah dilepaskan.

  • oleh
  • Advertisement