Anda di sini

Pulau Pinang dilanda banjir kilat lagi

Advertisement
 Penduduk kampung membantu seorang warga emas mengharungi banjir kilat berikutan hujan lebat di Kampung Kulup, Teluk Kumbar di George Town semalam. — Gambar Bernama
BANJIR: Penduduk kampung membantu seorang warga emas mengharungi banjir kilat berikutan hujan lebat di Kampung Kulup, Teluk Kumbar di George Town semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Hujan lebat sejak jam 3 pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Pulau Pinang sekali lagi mengalami banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh, lima hari selepas negeri itu dilanda banjir teruk Jumaat lepas.

Banjir kilat semalam me-nyebabkan lebih 50 kawasan dinaiki air, kebanyakannya di sebelah Seberang Perai antaranya Jalan Bukit Tengah; Taman Mutiara; Jalan Tembikai; Bukit Mertajam; Taman Usaha; Lorong Usahajaya; Taman Senangin; Taman Nibong Tebal; Jalan Bukit Teh; Kampung Baru Sungai Bakap; Kampung Sethu; Lorong Janggus; dan Taman Sukun.

Kawasan-kawasan yang terjejas di bahagian pulau pula ialah Balik Pulau; Gertak Sanggul; Teluk Kumbar; Sungai Batu; Bayan Baru; Paya Terubong; Air Itam; dan Bayan Lepas.

Banjir kilat mengakibatkan kawasan terlibat dinaiki air sedalam 0.7 meter hingga 1.6 meter dan lebih 100 rumah turut dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Pang Ah Lek berkata seramai 108 mangsa membabitkan 34 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir di Dewan Masyarakat Teluk Kumbar setelah rumah mereka dinaiki air.

“Pihak APM sedang memantau kawasan banjir kilat bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dan dapat dipindahkan segera jika rumah mereka dinaiki air. Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan dan air laut akan pasang besar yang kemuncak-nya pada jam 12 tengah hari.

“Setakat ini keadaan banjir terkawal dan kami akan terus memantau,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.Anbalagan berkata hujan lebat turut menyebabkan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Tun Sardon-Jalan Bukit Baru, Paya Terubong menyebabkan jalan utama menuju ke Balik Pulau dan George Town terhalang.

Beliau berkata jalan itu terpaksa ditutup bagi membolehkan pihak bomba, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja pembersihan tanah dan batu yang runtuh serta pokok tumbang.

“Kerja-kerja pembersihan dijangka selesai sebelum jam 5 petang dan harap-harap tiada lagi pokok tumbang atau tanah runtuh di kawasan berkenaan dan pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Bayan-Teluk Kumbar-Balik Pulau atau Jalan Teluk Bahang-Batu Ferringhi-George Town,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata tahap air di Sungai Pinang kini melebihi paras bahaya dengan bacaan melebihi 2.9 meter berikutan hujan sejak awal pagi semalam. — Bernama

Beliau berkata keadaan air laut kini menunjukkan pasang surut dan jika hujan sederhana, paras air sungai tidak akan melimpah.

“Kerajan negeri sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi menghadapi banjir kilat kali ini,” katanya.

Seorang mangsa banjir di Teluk Kumbar Husain Mahmod, 56, berkata rumahnya mula dinaiki air jam 8 pagi selepas hujan lebat sejak awal pagi dan mereka sekeluarga terpaksa berpindah kerana bimbang banjir semakin teruk seperti Jumaat lepas.

“Penat kemas rumah sebab banjir minggu lepas pun belum habis, hari ini (semalam) rumah naik air lagi...barang-barang pun tak sempat nak selamatkan tadi kerana terus kena mai (datang) pusat pemindahan, depa takut air naik sebab ada air pasang besar sama hari ini (semalam),” katanya. — Bernama

Advertisement