Anda di sini

MITI sasar tingkat pemahaman PKS dalam Industri 4.0 sebelum 2018

Advertisement

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan pelbagai program dalam usaha mempertingkatkan pemahaman pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai Industri 4.0 sebelum tahun depan.

Timbalan  Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia adalah seiring dengan hasrat kerajaan untuk mula  mengguna pakai elemen Industri 4.0 bagi peserta industri pada 2018.

“Tahap pemahaman PKS mengenai Industri 4.0 masih lagi rendah sekarang ini sekali gus menyebabkan tahap pelaksanaannya juga rendah. Kita harap prasarana ke arah Industri 4.0 dapat disediakan oleh pemain industri pada tahun depan.

“Justeru itu, kerajaan melalui MITI akan melaksanakan pelbagai seminar bagi menerangkan kepentingan Industri 4.0 kepada semua usahawan terutama PKS di seluruh negara agar mereka tidak ketinggalan dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya di sini, semalam.

Beliau  berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula produk rempah-ratus syarikat Wau Tradisi Enterprise di Kompleks Premis Usahawan SME Bank di Kawasan Industri Pengkalan Chepa di sini.

Hadir sama Pengurus syarikat Wau Tradisi Enterprise Mohd Anazim Adnan, Pengarah MITI Wilayah Timur Nik Mohd Fahim Muhaimin dan Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Kelantan Nik Faizal Nik Ahmad.

Ahmad berkata setakat ini terdapat 907,065 PKS dengan 5.3 peratus atau 48,075 syarikat terlibat dalam industri pembuatan.

Beliau berkata, Industri 4.0 membabitkan perkhidmatan pintar seperti kediaman pintar, kilang pintar dan perkhidmatan logistik pintar, penggunaan Internet Kebendaan, Analisis Data Raya, Pengkomputeran Awan serta mesin dan kelengkapan robotik yang lebih canggih.

Sementara itu, Nik Mohd Fahim berkata MITI Wilayah Timur akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan pada November depan, antara pengisiannya adalah penerangan mengenai Industri 4.0 kepada peserta yang terdiri daripada usahawan PKS dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan bahagian timur Johor.

Beliau berkata program penerangan tersebut amat penting agar peserta industri memahami dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai revolusi industri yang sedang berlaku di peringkat dunia ketika ini. — Bernama

Advertisement