Anda di sini

Malaysia persoal sikap dan cara Myanmar tangani isu Rohingya

Advertisement
 Ahmad Zahid (kiri sekali) bergandingan tangan bersama wakil ketua-ketua negara anggota ASEAN pada mesyuarat ‘The 5th AMMTC Plus China Consultation’ sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke 11 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Peningkatan Fahaman Radikal dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) Ke-2 semalam. — Gambar Bernama
BEKERJASAMA: Ahmad Zahid (kiri sekali) bergandingan tangan bersama wakil ketua-ketua negara anggota ASEAN pada mesyuarat ‘The 5th AMMTC Plus China Consultation’ sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke 11 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Peningkatan Fahaman Radikal dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) Ke-2 semalam. — Gambar Bernama

MANILA: Malaysia membuat kenyataan tegas yang mempersoalkan sikap dan cara kerajaan Myanmar menangani isu Rohingya hingga sanggup menafikan permintaan masyarakat antarabangsa untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada kumpulan etnik itu dan lebih mengecewakan, membunuh wanita dan kanak-kanak Rohingya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia yang  tidak berhasrat mencampuri urusan negara itu, sebenarnya tidak dapat menerima tindakan keras Myanmar itu malahan menuntut supaya tindakan yang lebih demokratik dan mengikut piawaian antarabangsa digunakan untuk menyelesaikan masalah dalaman negara itu.

“Soal keselamatan adalah soal dalam negara mereka, dan  Malaysia tidak berhajat untuk campur tangan tetapi kita mahu supaya sebagai negara yang menuju negara demokratik maka sistem demokrasi hendaklah dilaksanakan,” katanya kepada media Malaysia di sini semalam sejurus selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-11 di sini yang berlangsung sejak Selasa, dan berakhir semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau mengeluarkan kenyataan spontan itu yang juga pandangan rasmi kerajaan dan hasrat rakyat Malaysia, setelah wakil kerajaan Myanmar ketika agenda perbincangan hal-hal lain pada mesyuarat itu, membuat kenyataan seolah-olah menjustifikasikan tindakan ketenteraan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya yang kononnya adalah kumpulan pengganas dan militan Islam.

“Saya tidak boleh menerima situasi itu. Saya telah timbulkan (pada mesyuarat itu) adakah wanita dan kanak-kanak tergolong sebagai kumpulan pengganas.

“Adakah bantuan-bantuan kemanusiaan tidak boleh sampai ke Myanmar hingga kami dan masyarakat antarabangsa terpaksa menggunakan negara jiran khususnya Bangladesh sebagai negara yang menyalurkan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Ahmad Zahid membuat kenyataan itu semasa berlangsungnya Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) sempena AMMTC ke -11 di sini.

Timbalan perdana menteri berkata sehubungan itu beliau berharap Myanmar dapat menangani isu itu dengan lebih baik dan melayan etnik Rohingya khususnya wanita dan kanak-kanak “sebagai manusia dan bukannya dilayan sebagai binatang.”

“Ini adalah untuk menyatakan keprihatinan yang tegas oleh kerajaan dan rakyat Malaysia  keseluruhannya terhadap tindakan  yang dilakukan kepada  orang Rohingya,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi Myanmar berikutan kenyataan tegasnya itu, Ahmad Zahid berkata walaupun tiada reaksi jelas pada wajah pemimpin Myanmar  namun kenyataan beliau mendapat reaksi positif daripada negara-negara ASEAN lain.

“Mereka (negara-negara ASEAN) tidak mengeluarkan  sebarang kenyataan selepas saya memberikan kenyataan itu tetapi secara peribadi mereka telah menghubungi saya dan menyatakan sokongan mereka.

“Saya  bertanyakan sebuah negara (mengenainya) dan mereka  menyatakan  mereka bersetuju  dan kenyataan saya itu melengkapi kenyataan yang selama ini mereka juga keluarkan,”katanya. — Bernama

Advertisement