Anda di sini

Lelaki mengamuk jadikan anak tebusan

Advertisement
 Suspek yang masih lemah anggota badannya selepas ditembak menggunakan ‘Tesar Gun’ berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
KENA TEMBAK: Suspek yang masih lemah anggota badannya selepas ditembak menggunakan ‘Tesar Gun’ berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Gara-gara bercerai menyebabkan seorang lelaki ‘naik gila’ dengan tiba-tiba mengamuk dan menjadikan anaknya sebagai tebusan di rumah mereka di Kampung Bintawa Hilir, di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, insiden berlaku sekitar jam 5.30 petang Rabu lepas apabila suspek yang berusia 33 tahun mengugut mencederakan anak perempuannya yang berusia dua tahun menggunakan parang sekiranya ada pihak yang cuba memasuki rumah mereka.

Difahamkan suspek yang dikatakan mengalami gangguan mental selepas bercerai dengan isterinya itu bertindak mengacukan parang ke leher anaknya menyebabkan anggota daripada Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Kuching terpaksa menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Suspek gagal dipujuk menyebabkan anggota MPV kita terpaksa menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Pegawai ASP Fauzi yang mengetuai operasi tersebut kemudian terus melepaskan tembakan menggunakan ‘Tesar Gun’ke arah suspek yang menyebabkannya lemah seluruh badan dan peluang tersebut digunakan anggota kita menyelamatkan mangsa.

“Suspek kemudian berjaya ditangkap,” kata Abang Ahmad dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Abang Ahmad juga, mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Manakala suspek dibawa ke Balai Polis Gita untuk tindakan selanjutnya dan difahamkan suspek mengalami gangguan mental selepas bercerai dengan isterinya,” katanya.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kes tersebut masih dijalankan.

  • oleh
  • Advertisement