Anda di sini

LBR 2017/2018 dan Kejohanan Piala Sarawak medan cari pemain baharu

Advertisement
 Posa melakukan sepak mula semasa perlawanan Kuching-Gedong Gators dan Serian FA untuk merasmikan saingan LBR Zon Sarawak.
RASMI: Posa melakukan sepak mula semasa perlawanan Kuching-Gedong Gators dan Serian FA untuk merasmikan saingan LBR Zon Sarawak.

KUCHING: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menjelaskan akan menggunakan saingan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018 dan Kejohanan Piala Sarawak untuk mencari pemain musim baharu.

Posa ditemui semasa merasmikan sepak mula LBR Zon Sarawak pada minggu lepas memberitahu, pihaknya akan memantau pemainpemain muda yang menyerlah dalam saingan tersebut untuk diserap dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden.

“Kita akan memantau secara rapi prestasi semua pemain muda yang beraksi dalam LBR Zon Sarawak.

“Mana-mana pemain yang menunjukkan prestasi memberangsangkan akan dipanggil untuk diserap dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden tahun depan,” katanya.

Sehubungan itu, Posa berharap pemain muda tidak mensia-siakan peluang dengan membuktikan kemampuan mereka agar dipilih mewakili negeri.

Beliau juga mendedahkan akan menjadikan saingan Piala Sarawak yang akan berlangsung di Mukah pada penghujung Oktober depan sebagai landasan memilih pemain skuad senior.

“Sudah tentu kita juga akan menggunakan Kejohanan Piala Sarawak untuk mencari pemain-pemain yang berpotensi mewakili skuad tahun depan.

“Saya percaya kita mempunyai ramai pemain tempatan yang berpotensi,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai Piala Sarawak, Posa turut mencadangkan agar venue kejohanan itu turut diadakan di daerah Oya dan Dalat selain venue utama di Mukah.

Ujarnya, cadangan itu bagi memberi peluang kepada peminat bola sepak di Oya dan Dalat turut merasai kehangatan kejohanan berprestij itu nanti.

Advertisement