Anda di sini

Isu RCI, MA63 terus jadi agenda PBS

Advertisement

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan berputus asa dan akan terus memperjuangkan isu berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah serta mendapatkan semula hak-hak negeri Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, kedua-dua isu itu merupakan agenda utama perjuangan PBS semenjak parti itu ditubuhkan sehinggalah ke hari ini.

“Dan, tidak hairanlah terdapat parti politik pembangkang yang baharu timbul cuba untuk menggunakan isu itu untuk kepentingan politik mereka terutamanya menjelang pilihan raya umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32 PBS Bahagian Inanam, bertempat di Dewan Mini Kg Dato, Tobobon Bukit, Manggatal pada Ahad.

Maximus turut membidas pembangkang yang kononnya PBS tidak berbuat apa-apa dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.

Katanya, PBS menggunakan sistem dan saluran yang betul untuk menyampaikan apa juga masalah terutamanya berkaitan isu RCI dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada Kerajaan Persekutuan berbanding pembangkang yang hanya tahu bercakap sahaja.

Beliau berkata, lawatan Perdana Menteri ke Sabah pada Sabtu telah memberi peluang kepadanya untuk bersemuka dan bercakap sendiri kepada Perdana Menteri berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 serta permintaan daripada negeri Sabah dan Sarawak.

“Apa yang kita sampaikan ini telah mendapat perhatian daripada Perdana Menteri secara terbuka untuk diperbincangkan berbanding era kepimpinan Tun Mahathir Mohamad yang melihat isu ini sebagai sesuatu yang sensitif dan boleh ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air turut yakin dan optimis bahawa Barisan Nasional (BN) masih boleh menang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Mengulas perkembangan politik di kawasan Inanam, beliau berkata PBS boleh menang semula di Inanam jika semua pihak bersatu dan mengutamakan kepentingan parti di hadapan.

Katanya, sikap merajuk dan seterusnya mensabotaj parti apabila tidak terpilih menjadi calon merupakan punca utama yang boleh menyebabkan calon yang bertanding pada pilihan raya umum kalah.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu turut menuntut agar beberapa individu yang disebut-sebut sebagai bakal calon Inanam supaya dapat bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan. Ia akan dipantau sepenuhnya oleh beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

Terdahulu, Ketua Bahagian PBS Inanam Fredolin Totin Bangon menekankan betapa pentingnya pemimpin dan ahli PBS bersatu serta bekerja sebagai satu pasukan bagi misi menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam daripada parti pembangkang pada PRU akan datang.

Katanya, soal siapa calon di Inanam biarlah pucuk pimpinan parti yang membuat pilihan namun apa yang penting ialah siapa pun calon yang dipilih nanti hendaklah dipatuhi dan sama-sama membantunya untuk mencapai kemenangan, seterusnya mengembalikan kerusi DUN Inanam kepada PBS dan BN.

Fredolin yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Inanam turut menjelaskan walaupun kawasan Inanam di bawah pentadbiran parti pembangkang, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan kewajipannya membantu rakyat di kawasan itu bagi memastikan ia tidak ketinggalan dari segi pembahagian projek pembangunan infrastruktur luar bandar untuk keselesaan rakyat di kawasan itu.

Dalam majlis itu, sebanyak 157 borang keahlian baharu untuk menyertai PBS yang telah diserahkan oleh wakil setiap cawangan PBS yang terlibat kepada Maximus.

Fredolin turut mengumumkan kelulusan pewartaan dua kampung iaitu Kg Muhibbah dan juga Kg Lobou, Manggatal.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden PBS Datuk Seri Panglima Radin Maleh, Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun, Setiausaha Kerja PBS Mercilus Roman, Timbalan Ketua Pemuda PBS (pusat) Christopher Mandut, Exco Wanita PBS Pusat Datin Malinah Ugau dan Naib Presiden PBS Pusat Datuk Ng Loi Teck.

Turut hadir, Ketua Bahagian PBS Moyog John Masabal, Ketua Bahagian PBS Kiulu Datuk Louis Rampas serta AMT PBS Pusat Ali Zaman dan William Majimbun, Pegawai Kemajuan Masyarakat Inanam Lukin Teliban dan mantan ADUN Inanam Datuk Johnny Goh.

Advertisement