Anda di sini

IPD Penampang lupus 686 unit komputer judi bernilai RM548 ribu

Advertisement
 Jauteh (tengah) bersama Khalkausar (dua kiri), Rosley (tiga kanan) dan Rajendran (kiri) dengan barangan e-Waste yang akan dilupuskan.
MESRA ALAM: Jauteh (tengah) bersama Khalkausar (dua kiri), Rosley (tiga kanan) dan Rajendran (kiri) dengan barangan e-Waste yang akan dilupuskan.

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melaksanakan sistem pelupusan barang kes elektronik atau e-sisa (e-Waste) ke atas sejumlah 686 unit komputer dan 60 unit mesin judi yang bernilai lebih RM548,000 serta wang tunai RM23,926.90.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) (Siasatan Perundangan) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata pelupusan e-Waste adalah yang pertama di Sabah dengan kaedah selamat tanpa mencemarkan alam sekitar.

Katanya pelupusan barangan kes dari tahun 2000 sehingga 2014 terbabit mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Alam Sekitar Sabah (JAS) dan Syarikat NCT Fowarding & Shipping Sdn Bhd.

“Selepas selesainya perbicaraan dan mendapat arahan pelupusan daripada pihak mahkamah, kita melaksanakan pelupusan secara e-Waste yang bersifat selamat, mesra alam selain dapat mencegah pencemaran logam berat terhadap alam sekitar sepertimana sistem sebelum ini.

“Barangan elektronik yang sudah diluluskan untuk pelupusan akan diangkut oleh pihak kontarktor yang dilesenkan oleh JAS ke kemudahan bagi pemerolehan semula di Semenanjung berikutan Sabah belum mempunyai kemudahan berkenaan.

“Saya juga mengharapkan agar semua IPD di Sabah akan mengikuti pelaksanaan IPD Penampang dalam memenuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh JAS untuk pelupusan secara e-Waste,” katanya.

Tambahnya, selain set komputer dan mesin judi, IPD Penampang turut menyerahkan wang tunai sebanyak RM23,926.90 daripada hasil rampasan kes kepada Jabatan Perbendaharaan Negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelupusan Barang Kes Secara E-Waste Bahagian Siasatan Jenayah di IPD Penampang pada Rabu.

Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Rosley Hobden dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang Asisten Superintenden Rajendran Yalamalai.

Sementara itu, Pengarah JAS Sabah Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata kategori e-Waste adalah pelupusan barangan terjadual yang perlu dilupuskan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Melalui sistem ini, kita dapat memastikan tiada e-Waste dilupuskan ke tapak pelupusan yang boleh mencemarkan sumber air sama ada sungai atau tanah.

“Sistem ini juga dapat memastikan barangan dalam keadaan baik dan memudahkan proses peleraian serta pengambilan semula bahan yang boleh dikitar semula termasuk mineral semula jadi iaitu bahan logam berharga dan komponen lain.

“Barangan yang dilupuskan juga dapat memastikan ia dihantar ke tempat pelupusan yang ditetapkan dan tidak dilupuskan secara haram di kawasan tapak pelupusan lain,” katanya.

Pihaknya sangat mengalu-alukan mana-mana pihak berkuasa atau syarikat di Sabah yang ingin melupuskan barangan menggunakan sistem e-Waste yang mesra alam.

“Kaedah ini sudah lama dilaksanakan di Semenanjung dan saya yakin ia mampu dilakukan di Sabah walaupun buat masa ini kita terpaksa menghantar barangan e-Waste ke Semenanjung untuk dilupuskan,” katanya.

Advertisement