Anda di sini

Festival Filem Jepun kini di GSC CityONE Megamall, Kuching

Advertisement
 Kenji Ohta (kiri), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi (tengah) dan juga Koichi Horikawa (kanan) bergambar bersama pada acara pembukaan JFF’17 di Kuching, kelmarin.
KEMBALI LAGI: Kenji Ohta (kiri), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi (tengah) dan juga Koichi Horikawa (kanan) bergambar bersama pada acara pembukaan JFF’17 di Kuching, kelmarin.

KUCHING: Festival Filem Jepun 2017 (JFF’17) dilancarkan secara rasminya di Golden Screen Cinemas (GSC) CityONE Megamall di sini pada Rabu dengan tayangan khas filem ‘Her Love Boils Bathwater’, sebuah kisah yang begitu menyentuh perasaan tentang seorang wanita yang disahkan mengidap kanser tahap akhir cuba menyatukan keluarganya.

Filem arahan Nakano Ryota yang memberikan dua pelakon wanita utamanya, Rie Miyazawa dan Hana Sugisaki, anugerah lakonan terbaik di beberapa acara anugerah di Jepun itu adalah salah satu daripada 14 filem yang memaparkan pelbagai aspek dan landskap kebudayaan Jepun meliputi pelbagai tema dan genre yang ditayangkan buat pertama kali di sini.

Ini adalah kali keenam festival filem Jepun yang memasuki edisi ke-14 penganjurannya di Malaysia yang dibawakan khas oleh Yayasan Jepun Kuala Lumpur (JFKL) itu berada di Sarawak di mana ia akan berlangsung dari 21 September (semalam) sehingga Ahad ini (24 September).

Awal bulan ini, festival itu dilancarkan secara rasmi di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada 5 September dengan tayangan di beberapa pawagam terpilih di sekitar Lembah Klang dari 7 hingga 13 September sebelum bergerak ke Pulau Pinang pada 14 hingga 17 September.

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya kecuali tahun lepas, majlis pembukaan JFF’17 di Kuching dirasmikan oleh Setiausaha Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang berharap ia akan diteruskan di masa hadapan.

“Festival filem Jepun di Kuching memberikan satu platform penting untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dan juga pertukaran budaya,” kata beliau.

Sementara itu, dalam ucapannya, pengarah JFKL Koichi Horikawa turut menyebut tentang sambutan yang amat menggalakkan di dua bandar pertama sebagai satu gambaran permintaan yang semakin meningkat untuk filem-filem dari negara matahari terbit itu.

“Kami telah menerima maklum balas yang amat menggalakkan di Lembah Klang dan Pulau Pinang dengan lebih 10,000 kemasukan setakat ini,” katanya.

“Tahun lepas kami mendapat jumlah terkumpul sebanyak 9,500 yang bermakna kami telah mencapai sasaran kami. Dengan itu, kami sangat berharap perhatian yang sama daripada orang di Sarawak dan Sabah.”

Turut hadir di acara itu adalah Ketua Eksekutif Mitsubishi Corporation Malaysia Kenji Ohta.

Mitsubishi Corporation adalah penaja utama festival ini yang akan diteruskan dan akan berakhir di Kota Kinabalu pada minggu depan (28 September hingga 1 Oktober 2017).

Menampilkan filem terlaris, magnet trofi, dokumentari membuka mata, adaptasi manga yang sangat dinanti-nantikan, tayangan perdana untuk pawagam Jepun yang baru menjan-jikan pengalaman budaya yang benar-benar men-dalam bagi para penonton dari semua peringkat umur dan juga cita rasa.

Selain ‘Her Love Boils Bathwater’, 13 filem lain yang turut ditayangkan di JFF’17 kali ini adalah ‘blank 13’, ‘Midnight Diner 2’, ‘Tsukiji Wonderland’,’ ReLIFE’, ‘Rudolf the Black Cat’, ‘Samurai Hustle Returns’, ‘Seto and Utsumi’, ‘Survival Family’, ‘Teiichi: Battle of Supreme High’, ‘The Long Excuse’, ‘The Projects’, ‘Tora-san of Goto’ dan ‘Asian Three-Fold Mirror 2016: Reflections’.

Semua filem ditayangkan dalam Bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris.

Tiket untuk JFF’17 dijual pada harga RM8 (termasuk 6% GST) kecuali untuk ‘Midnight Diner 2’ dan ‘Tsukiji Wonderland’ pada harga tiket semasa dan boleh dibeli menerusi kaunter tiket GSC, e-bayaran GSC dalam gsc.com.my atau aplikasi mudah alih GSC.

Bagi senarai penuh untuk sinopsis filem, masa tayangan dan keterangan am boleh didapati di jfkl.org.my dan gsc.com.my.

  • oleh
  • Advertisement