Anda di sini

Dadah: Lelaki bawah perintah sekatan ditangkap semula

Advertisement

SIBU: Tidak serik melibatkan diri dalam aktiviti dadah, seorang lelaki masih dalam perintah sekatan ditangkap semula bersama empat individu lain di sebuah rumah sewa di Jalan Makmur di sini petang kelmarin.

Pasukan Polis Jabatan Siasatan Jenayah  Narkotik (JSJN) IPD Sibu menahan  tiga lelaki dan dua perempuan berumur antara 26 hingga 44 tahun ketika berada di ‘port dadah’ tersebut sekitar jam 5.40 petang itu.

Ketua Polis Daerah Sibu baharu, ACP Zailanni Amit berkata, semua individu  dicekup semasa polis melakukan pemeriksaan terhadap seorang lelaki berumur 35 tahun yang sedang menjalani perintah sekatan sejak empat bulan lepas.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis telah menjumpai dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat kasar keseluruhan seberat 101.50 gram,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan  terhadap salah seorang suspek, polis menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.58 gm.

Katanya,  anggaran nilai keseluruhan dadah yang dijumpai itu ialah RM10,000.00.

Zailanni berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek utama tersebut sebelum ini telah dituduh di bawah Sek. 12(2) ADB 1952 setelah ditahan selama seminggu untuk siasatan di bawah Sek. 39B ADB 1952.

“Semua suspek telah diperintah reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Zailanni berkata rumah yang sama telah diserbu oleh pasukan JSJ Narkotik dari IPK Sarawak dua minggu lepas.

Semasa serbuan terdahulu, 16 individu telah ditahan termasuk lapan orang yang datang ke premis itu untuk membeli bekalan dadah di mana kesemua mereka didapat positif dadah.

Advertisement