Anda di sini

Waspada agar tidak dipengaruhi ajaran sesat

Advertisement

SANDAKAN: Masyarakat Islam di Sabah hendaklah berwaspada supaya tidak mudah dipengaruhi oleh kalangan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyebarkan ajaran sesat.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Zakaria Mohd Edris berkata pihak berkenaan menggunakan pelbagai cara dan muslihat dengan matlamat untuk memesongkan akidah dan pegangan hidup umat Islam yang lemah kefahaman Islam.

Katanya cabaran umat Islam dalam mendepani pengaruh ajaran atau fahaman sesat begitu getir kerana mereka bukan sahaja menyebarkannya  secara tradisi dengan masuk kampung tetapi turut menggunakan media sosial untuk mempengaruhi masyarakat Islam.

Situasi ini memerlukan umat Islam terutama kalangan para ulama, cendekiawan Islam, ustaz, ustazah, muda-mudi Islam dan masyarakat Islam saling bekerjasama dalam menangani ancaman ajaran salah yang disebarkan,” katanya ketika merasmikan Seminar Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah di sini, semalam.

Seminar dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Sandakan dan Bahagian Penyelidikan JHEAINS.

Menurutnya kombinasi dan adunan keilmuan, kepakaran dan pendekatan dakwah yang pelbagai, hikmah, ihsan dan bersifat mendekati semua kelompok masyarakat menjadi kekuatan dalam menangani isu-isu yang mengancam akidah  umat Islam.

Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gum-Gum berkata terdapat 16 ajaran atau fahaman telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah sebagai ajaran sesat kerana bertentangan dengan akidah ahli sunnah wal-jamaah.

Katanya ajaran tersebut antaranya Qadiani yang dipelopori oleh kumpulan Ahmadiah Qadiani, Al-Arqam, Syiah, Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Tarikat Hasaniah, Liberalisme dan Pluralisme. — Bernama

Advertisement