Anda di sini

Peningkatan nilai eksport getah bukti sektor itu mampu terus berkembang

Advertisement
 Mah (dua kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Prof Dr Zaini (kanan) dengan Or Tan Teng (kiri) pada majlis MoU antara UiTM dengan Doshin Rubber di universiti itu di Shah Alam, kelmarin. Turut hadir Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Doshin Rubber Tan Sri Lim Kuang Sia. — Gambar Bernama
HUBUNGAN DUA HALA: Mah (dua kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Prof Dr Zaini (kanan) dengan Or Tan Teng (kiri) pada majlis MoU antara UiTM dengan Doshin Rubber di universiti itu di Shah Alam, kelmarin. Turut hadir Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Doshin Rubber Tan Sri Lim Kuang Sia. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Peningkatan nilai eksport getah dan produk berasaskan getah sebanyak RM5.3 bilion atau 38.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini membuktikan sektor berkenaan mampu berkembang dengan lebih baik pada masa depan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata getah dan produk berasaskan getah mencatatkan eksport berjumlah RM19.1 bilion bagi tempoh tersebut berbanding RM13.8 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Oleh itu, katanya, persepsi masyarakat yang menganggap industri getah sebagai kurang penting harus diubah kerana komoditi tersebut kini juga mampu menghasilkan produk bernilai tinggi untuk menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk kejuruteraan bangunan atau jambatan.

Tanpa kita sedar, negara kita sebenarnya mempunyai teknologi dan kepakaran dalam industri getah antara yang terbaik di dunia malah produk kita sering menjadi pilihan negara lain kerana berkualiti tinggi.

Disebabkan itu, kerajaan amat menggalakkan pihak industri bekerjasama dengan universiti untuk terus mengkaji dan menghasilkan lebih banyak inovasi bagi merancakkan perkembangan industri getah negara,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Menurut Mah, peningkatan jumlah eksport getah asli sebanyak 682,131 tan metrik bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 568,279 tan metrik dalam tempoh yang sama tahun lepas juga menunjukkan sektor itu bukan industri yang malap sebaliknya sedang meningkat naik memandangkan kepentingannya dalam pelbagai bidang.

Terdahulu, Mah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diwakili Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat, dan Alumninya, Prof Dr Zaini Abdullah dan Doshin Rubber Products (M) Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Or Tan Teng.

MoU berkenaan adalah sebagai ikatan strategik penyelidikan berskala besar yang telah dimulakan sejak tahun 2013 bertujuan menambah baik infrastruktur serta keselamatan negara dalam bidang kejuruteraan gempa bumi dan struktur dinamik.

Dalam pada itu, Mah mengingatkan para penoreh dan pekebun kecil getah yang belum mendaftar bagi Kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), seliaan Lembaga Getah Malaysia supaya segera melakukannya sebelum 30 Sept ini bagi melayakkan mereka memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

Kita sasarkan 440,000 penoreh dan pekebun kecil getah memohon BMT namun setakat ini, hanya sejumlah 171,196 daripada golongan itu yang telah berdaftar dan memohon yang mana 81,196 melakukannya secara dalam talian sejak ia dibuka pada 1 Sept lepas.

Jadi, kita berharap lebih ramai lagi penoreh dan pekebun kecil getah segera memohon untuk menerima bantuan ini,” katanya. — Bernama

Advertisement