Anda di sini

Lelaki dipenjara dua bulan kerana simpan harta curi

Advertisement

MIRI: Sengaja menyimpan harta curi, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Ronnie Chua @ Mohd Danial Chua Abdullah telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang telah menyimpan atau memiliki harta curi iaitu sebuah mesin rumput kepunyaan Federick Matius.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 pagi, 27 Ogos lalu di sebuah lot di Jalan Kiambang 1 Tudan Fasa 3 di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukumannya diringankan memandangkan dia telah berkahwin dan mempunyai anak.

Sementara dalam satu kes berasingan, mahkamah turut mengenakan denda RM2,300 atau empat bulan penjara ke atas tertuduh kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Bagi kesalahan itu, dia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Mengikut pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.45 petang, 13 September 2009 di Balai Polis Pusat Miri.

Advertisement