Anda di sini

Lanun: 11 warga Indonesia dipenjara 16 tahun, sebatan

Advertisement

Mengaku bersalah merompak sebuah kapal tangki minyak

 Sebahagian daripada sepuluh lanun dibawa ke mahkamah oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk didakwa kerana merompak kapal tangki minyak di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam. — Gambar Bernama
MEROMPAK: Sebahagian daripada sepuluh lanun dibawa ke mahkamah oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk didakwa kerana merompak kapal tangki minyak di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Seramai 11 ‘lanun zaman moden’ masing-masing dihukum penjara 16 tahun oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini semalam setelah mengaku bersalah merompak sebuah kapal tangki minyak, awal bulan lalu.

Kesemua warga Indonesia itu diperintah menjalani hukuman tersebut bermula tarikh tangkap antara 6 dan 7 Sept lalu manakala tujuh daripada mereka turut dijatuhi hukuman lima sebatan.

Seramai 10 tertuduh yang berusia antara 31 dan 59 tahun itu didakwa di hadapan Hakim Rofinah Mohamad iaitu Anne Raja, Arsito Mohd Hardi, Kreston Muhaling, La Abu, Bram Ali, Luther Marnis Zachawerus, Badiun, Meidy Hermanus Wajongkere, Rollan Kapahese dan Oktemi Supri.

Kesemua mereka didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas  melakukan rompak berkumpulan terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand sehingga mendatangkan kerugian dan ketakutan terhadap 14 kru kapal tersebut dengan menggunakan senjata pisau dan parang panjang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di perairan Terengganu pada jam 8.30 malam, 6 Sept lalu.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga di Indonesia dan telah menyesal atas perbuatan mereka.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah membantah rayuan tersebut ekoran tindakan tertuduh yang mampu mendatangkan pelbagai ancaman terhadap mangsa dan negara.

Faktor mitigasi (rayuan) adalah bersifat peribadi dan seharusnya tertuduh memikirkannya terlebih dahulu sebelum melakukan rompakan.Tertuduh merupakan lanun di zaman moden yang masih ada sehingga kini,” katanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Rofiah berkata hukuman yang dikenakan adalah bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana perbuatan mereka mampu menjejaskan keselamatan negara dan mereka sepatutnya bersyukur kerana senjata api tidak dijumpai.

Katanya, sekiranya terdapat bukti penggunaan senjata api, kesemua mereka boleh meringkuk di dalam penjara sehingga seumur hidup dan rompakan terancang itu tidak berulang.

Sementara itu di hadapan Hakim Mohammad Haidar Abdul Aziz, seorang lagi warga Indonesia Heinrick Piterson Parera didakwa bersubahat bersama tiga yang masih bebas melakukan rompakan yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ghazrin Budget Hotel Sdn Bhd, Larkin Johor pada jam 8.30 malam, 6 Sept lalu.

Bagi kesalahan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan (merompak menggunakan senjata) yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan.

Mengikut fakta kes, Heinrick berperanan sebagai  perancang utama yang tinggal di hotel tersebut dan bertanggungjawab menyediakan kapal serta memantau, mengkaji dan membuat pemerhatian terhadap pergerakan kapal selama dua bulan melalui sistem dalam talian  Marine Traffic dan Ship Finder sebelum rompakan dilakukan.

Rompakan tersebut menyebabkan seorang kru mengalami kecederaan dan mereka  bernasib baik kerana berjaya diselamatkan selepas seorang nelayan membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas terlihat tertuduh memanjat ke atas kapal tangki milik syarikat Thailand itu. — Bernama

Advertisement