Anda di sini

Kuching FA perlu pertajam serangan

Advertisement

Gagal manfaat peluang di laman sendiri, tewas kepada UKM FC pada aksi Piala FAM 2017 malam kelmarin

 Penjaga gol UKM FC, Abdul Gapur Samsudin tangkas menyelamatkan gawang pasukannya dari ancaman penyerang Kuching FA (jersi hijau).
SENGIT: Penjaga gol UKM FC, Abdul Gapur Samsudin tangkas menyelamatkan gawang pasukannya dari ancaman penyerang Kuching FA (jersi hijau).

KUCHING: Skuad Kuching FA perlu mempertajamkan jentera serangan jika berhasrat untuk bangkit pada aksi suku akhir kedua saingan Piala FAM 2017 menentang UKM FC.

 Pada perlawanan suku akhir pertama berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya malam kelmarin, Kuching FA gagal memanfaat peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-2.

 Pengurus Pasukan, Fazzrudin Abdul Rahman berkata kegagalan mengekalkan ketenangan menjadi punca jentera serangan Kuching FA melepaskan beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

 “Pada sesi latihan bersama Jalil (Rambli), itulah perkara utama ditekankan oleh beliau iaitu ketenangan di depan gol namun kelemahan itu masih lagi nampak dengan ketara dalam jentera serangan kita.

 “Justeru, kita akan cuba menyelesaikan masalah tersebut dalam lima sesi latihan yang akan dijalankan selepas ini,” katanya mengulas perlawanan itu kelmarin.

 Jelasnya, pemain UKM FC bijak mengambil peluang dari situasi serba tidak menjadi Kuching FA sepanjang 90 minit permainan untuk menjaringkan gol.

 Sementara itu, jurulatih Kuching FA Shahrizan Sahari berkata skuadnya akan ‘all-out’ pada suku akhir kedua untuk membalas kekalahan malam kelmarin.

 Bagi Shahrizan, misi memburu tiga gol di Stadium UKM Bangi tetap tidak mustahil dengan syarat pemain bermain habis-habisan di sana.

 Apa yang pasti jelas Shahrizan, beberapa perubahan akan dibuat pada barisan skuad itu untuk memperbaiki kelemahan yang masih ada.

 “Kita sudah tahu corak permainan mereka dan ia mungkin memberi peluang kepada kita untuk mencipta sesuatu di sana.”

Pada perlawanan tersebut, penyerang UKM FC Muhammad Hasrul Nurkholis Hasim meledak gol pada minit ke-25 dan 72 untuk memastikan skuad itu pulang dengan bekalan selesa.

 Aksi suku akhir kedua akan berlangsung pada 27 September ini.

  • oleh
  • Advertisement