Anda di sini

Keranda diraja Thai hampir siap

Advertisement
 Keranda Diraja yang akan digunakan pada Upacara Persemadian Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada akhir bulan depan. — Gambar Bernama
UKIRAN HALUS: Keranda Diraja yang akan digunakan pada Upacara Persemadian Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada akhir bulan depan. — Gambar Bernama

BANGKOK: Tukang mahir terbaik di Thailand bekerja keras berbulan-bulan membuat reka bentuk dan membina keranda diraja yang akan digunakan dalam Upacara Persemadian Diraja mendiang Raja Bhumibol Adulyadej hujung bulan depan.

Keranda diraja yang dihiasi hiasan dan diukir halus itu diperbuat daripada pokok cendana yang sudah mati tetapi pohonnya masih tegak, kayunya berbau harum dan dianggap membawa tuah penganut Buddha dan sering digunakan dalam upacara keluarga diraja.

Keranda diraja itu diperbuat daripada 12 batang pokok cendana yang telah mati tetapi pohonnya masih tegak yang ditebang di Taman Negara Kui Buri di Prachuapkhirikhan,” kata pegawai daripada Jabatan Seni Halus kepada media baru-baru ini.

Keranda itu mempunyai 132 lambang garuda, dedah pegawai terbabit, satu ciri terpenting pada keranda diraja.

Media tempatan dan asing diberi peluang yang jarang diberi sebelum ini oleh Jabatan Perhubungan Awam kerajaan untuk melawat Jabatan Seni Halus, yang diberi amanah untuk membuat reka bentuk dan membina keranda diraja di Bangkok, baru-baru ini.

Sekumpulan tukang mahir giat membuat  kerja kemasan peringkat akhir dengan amat teliti pada keranda diraja itu, kira-kira sebulan sebelum digunakan dalam Upacara Persemadian Diraja.

November tahun lepas, media tempatan melaporkan satu upacara khas berlangsung di Taman Negara Kui Buri untuk memohon restu daripada ‘penjaga’ pokok cendana itu, sebelum ia ditebang dan dibawa keluar dari hutan untuk diproses menjadi papan keranda itu.

Upacara bersejarah Persemadian Diraja akan berlangsung selama lima hari bermula 25 Oktober dan jasad baginda akan menjalani upacara persemadian dengan cara dibakar di Krematorium Diraja di Sanam Luang dekat Istana Agung pada 26 Oktober.

Raja Bhumibol yang digelar raja berjiwa rakyat kerana kesungguhan baginda membawa pembangunan untuk rakyat dan memelihara kebajikan mereka, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Siriraj di sini pada 13 Oktober tahun lepas pada usia 89 tahun, setelah bertakhta 70 tahun sebagai raja kesembilan Dinasti Chakri. — Bernama

Advertisement