Anda di sini

Jambatan sementara dibina ATM bantu penduduk terputus hubungan

Advertisement
 Anggota Markas 2 Briged memasang panel jambatan baharu menggantikan laluan sementara yang runtuh akibat hujan lebat dan arus deras di Gerik semalam. — Gambar Bernama
JAMBATAN SEMENTARA: Anggota Markas 2 Briged memasang panel jambatan baharu menggantikan laluan sementara yang runtuh akibat hujan lebat dan arus deras di Gerik semalam. — Gambar Bernama

GERIK: Lebih 1,500 penduduk Kampung Bongor, Kampung Umbut, Kampung Durian Burung dan Kampung Pecah Batu di sini yang terputus hubungan sejak tiga hari lalu, menarik nafas lega semalam selepas jambatan sementara dibina merentangi Sungai Pieh yang meng-hubungkan kawasan mereka dengan pekan Gerik.

Panglima 2 Briged Brig Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata jambatan ‘Bailey Kompak 200 itu dibina bagi menggantikan jambatan sungai berkenaan yang runtuh akibat hujan lebat pada Isnin.

Kerja-kerja pemasangan jambatan pasang siap itu yang mengambil masa lima hingga enam jam melibatkan 70 anggota dan pegawai Rejimen Jurutera Diraja dan Rejimen 4 Sempadan Gerik, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Nizam berkata kerja memunggah komponen untuk membina jambatan yang merupakan aset baharu tentera yang digunakan di negeri itu dilakukan sejak jam 4 pagi kelmarin.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi kerajaan yang membantu dalam usaha itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Temengor Salbiah Mohamed berkata jambatan yang runtuh sebelum ini merupakan jambatan sementara yang dibina menggunakan simen.

Kita bina jambatan  sementara kerana dalam proses untuk membina jambatan baharu di situ yang dianggarkan bernilai RM600,000,” katanya menambah akibat kejadian pelajar juga tidak dapat ke sekolah.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Bongor Mat Ralik Abd Majid, 62, berkata jambatan itu merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan penduduk dengan FELDA Bersia untuk ke Gerik.

Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku kerana hujan lebat dan arus kuat menyebabkan jambatan itu dihanyutkan air,” katanya. — Bernama

Advertisement