Anda di sini

Dua wanita suspek kes tipu direman

Advertisement

MIRI: Dua wanita dalam dua kes berasingan masing-masing diperintah Mahkamah Majistret supaya direman empat hari untuk membantu siasatan polis berhubung dua kes tipu dilaporkan di Balai Polis Nilai dan Mantin, Seremban.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Faeze Azwansafuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri.

Dalam kes pertama, Faeze memberitahu seorang wanita telah membuat laporan polis dengan mendakwa sekitar jam 11 pagi, 19 Februari tahun ini, ketika berada di rumahnya di Mantin, Seremban ada menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil dari sebuah syarikat telekomunikasi.

Pemanggil memberitahu bahawa pengadu telah memenangi hadiah RM5,000 dan meminta nombor akaunnya namun pengadu enggan memberikan.

Selepas didesak, suami pengadu kemudian memberikan nombor akaun pengadu dan menuruti segala arahan pemanggil  memintanya memasukkan wang sebanyak dua kali masing-masing berjumlah RM550.12 dan RM90.12 ke sebuah akaun bank atas nama seorang wanita.

Pada jam 3.30 petang, 31 Mac tahun ini, pengadu telah pergi ke sebuah bank di Pekan Mantin untuk menyemak baki akaun dan mendapati wang di dalam akaunnya masih kurang, manakala wang dalam akaun anak perempuannya juga berkurangan sebanyak RM910 dan telah dipindah ke dalam akaun wanita sama.

Sehingga laporan dibuat kata pengadu, beliau  masih belum menerima hadiah dan kemudian baharu menyedari dirinya telah ditipu.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 2 petang, 18 September lalu, polis telah menahan seorang wanita berusia 31 tahun di Balai Polis Pusat Miri membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

Manakala dalam kes kedua, seorang wanita turut membuat laporan polis di Balai Polis Nilai, Seremban dengan mendakwa ditipu seorang individu berhubung penjualan payung di secara atas talian.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 1 pagi, 17 Julai lalu, semasa berada di sebuah pusat pengajian tinggi di Nilai, beliau ada menjual payung secara atas talian dengan harga RM97 kepada seorang lelaki.

Lelaki itu memberitahu pengadu bahawa dia akan membayar menggunakan satu akaun dari London yang mengehadkan pindahan minimum wang berjumlah RM500 dan meminta pengadu mengembalikan baki RM403 ke sebuah akaun lain.

Setelah pengadu mengembalikan baki wang diminta, lelaki terbabit sekali lagi meminta pengadu memasukkan wang RM800 kerana berlaku perubahan minimum pindahan dari banknya iaitu sebanyak RM1,300.

Pengadu menyedari diri telah ditipu, tidak memindahkan wang seperti mana yang diminta oleh lelaki terbabit.

Namun lelaki terbabit sering mengirim pesanan melalui aplikasi WhatsApp meminta pengadu memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikannya.

Bertindak atas maklumat diterima, pada jam 2.45 petang, 18 Seoptember lalu di Balai Polis Pusat Miri, polis telah menahan seorang suri rumah berusia 41 tahun untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Dalam permohonan lanjutnya, Faeze memberitahu reman selama 4 hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah masing-masing ke atas dua suspek terbabit amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Tambahan katanya kedua-dua suspek akan dieskot ke Nilai untuk disoal siasat lanjut berhubung kes ini.

Advertisement