Anda di sini

Dua beranak nafi jenayah seksual, tidak dibenar ikat jamin

Advertisement
 Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan.
NAFI: Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan.

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam tidak membenarkan ikat jamin terhadap datuk dan bapa saudara seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun yang menjadi mangsa jenayah seksual mereka di Durin, baru-baru ini.

Hakim Caroline Bee Manjanil tidak membenarkan kedua-dua tertuduh bebas dengan ikat jamin selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah.

Zulfadhli memohon kedua-duanya agar tidak diikat jamin memandangkan mangsa dan kedua-dua tertuduh adalah ahli keluarga, selain tinggal di rumah panjang yang sama di Sungai Durin.

Mahkamah turut menetapkan 20 Oktober ini sebagai tarikh bagi prapengurusan kes selepas kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan.

Datuk mangsa yang berusia 53 tahun menghadapi empat pertuduhan melakukan jenayah seksual sementara bapa saudara mangsa yang berusia 25 tahun menghadapi lima pertuduhan jenayah seksual termasuk satu pertuduhan membawa mangsa menonton klip video lucah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan seksual dengan bertindak menyentuh kemaluan mangsa antara bulan Mei 2017 hingga Ogos 2017 di sebuah bilik rumah panjang di Sungai Durin.

Bagi pertuduhan ini, kedua-dua mereka didakwa mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 16 akta yang sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan sementara Seksyen 16 membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua kali.

Bagi satu lagi pertuduhan, bapa saudara mangsa didakwa membawa mangsa menonton klip video lucah dalam telefon bimbit miliknya antara bulan Mei 2017 hingga Ogos 2017 di sebuah bilik rumah panjang di Sungai Durin.

Untuk pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Akta yang sama dan dihukum mengikut Seksyen 15(e) dan Seksyen 16 akta yang sama. Seksyen 15(e) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pihak pendakwa raya juga memohon agar kes kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama.

Advertisement