Anda di sini

Suu Kyi nafi krisis Rohingya berlarutan

Advertisement
 Suu Kyi menyampaikan ucapan kepada negara berhubung situasi Rakhine dan Rohingya di Naypyitaw, semalam. — Gambar Reuters
NAFI KRISIS: Suu Kyi menyampaikan ucapan kepada negara berhubung situasi Rakhine dan Rohingya di Naypyitaw, semalam. — Gambar Reuters

NAYPYIDAW: Aung San Suu Kyi berkata semalam bahawa beliau tidak gentar dengan sorotan global mengenai krisis Rohingya dan berikrar untuk memper-tanggungjawabkan mereka yang melanggar hak asasi manusia serta menempatkan semula sebahagian daripada 410,000 Muslim yang telah melarikan diri daripada operasi ketenteraan di Myanmar.

Namun beliau tidak menawarkan penyelesaian konkrit bagi menghentikan apa yang disifatkan PBB sebagai genosid.

Amnesty International menuduh pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu memilih untuk tidak mempedulikan pencabulan oleh tentera.

Dalam ucapan rasmi 30 minit di televisyen semalam, beliau menangani pengkritiknya dengan menggunakan retorik melambung yang pernah menjadikannya kesayangan komuniti hak asasi manusia global.

Dalam ucapan yang bertepatan menggantikan ucapannya pada Persidangan Agung PBB di New York, beliau mendakwa Myanmar sudah bersiap sedia untuk menerima semula pelarian selaras dengan proses pengesahan yang dipersetujui dengan Bangladesh pada awal 1990-an.

“Mereka yang diiktiraf sebagai pelarian akan diterima tanpa sebarang masalah serta dengan jaminan penuh ke atas keselamatan mereka dan akses kepada bantuan kemanusiaan,” kata Suu Kyi, 72, tanpa memperincikan jumlah yang dikira layak.

Namun subjek tuntutan mereka untuk tinggal di Myanmar menjadi sorotan perdebatan hangat mengenai kumpulan Muslim itu yang dinafikan kewarganegaraan dan dianggap pendatang haram dari Bangladesh meskipun sudah ratusan tahun wujud di negeri Rakhine.

Kerajaan Myanmar sebelum itu menyatakan ia tidak akan menerima semula mereka yang ada kaitan dengan teroris dan mencadangkan kebanyakan yang melarikan diri telah membakar kampung mereka sendiri terlebih dahulu.

Dalam ucapan yang disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, Suu Kyi menegaskan ‘operasi pembersihan tentera’ telah tamat pada 5 September tanpa serangan lanjut militan.

Namun para wartawan AFP melihat sendiri rumah penduduk masih dibakar berhari-hari selepas 5 September manakala keterangan daripada pelarian yang tiba di Bangladesh mencadangkan operasi ketenteraan tidak pernah dihentikan.

Tarikh baharu satelit yang diterbitkan Human Rights Watch semalam dilaporkan menunjukkan 214 kampung Rohingya telah tinggal abu.

“Jika tiada apa-apa berlaku sejak 5 September dan kesemua orang Rohingya telah pergi, siapa pula yang membakarnya?” kata Phil Robertson daripada Human Rights Watch.

Tanpa menyalahkan mana-mana kumpulan etnik atau tentera atas keganasan tersebut, Suu Kyi berikrar untuk menghukum sesiapa sahaja yang didapati bersalah mencabul hak asasi manusia tanpa mengira kedudukan politik, agama atau bangsa.

Pemantau hak asasi manusia dan pelarian Rohingya mendakwa tentera, yang lazimnya dikelilingi orang etnik Rakhine bukan Muslim, secara bersistematik membakar kampung Rohingya, manakala PBB menuduh tentera Myanmar melakukan genosid.

Amnesty International, yang pernah berkempen tanpa henti bagi pembebasan Suu Kyi daripada penahanan di rumah, mengecam ucapannya dengan menyatakan beliau dan kerajaannya membutakan mata terhadap kengerian yang sedang berlaku di Rakhine.

Kira-kira 170 kampung Rohingya telah hangus terbakar, menurut kerajaan, meliputi hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kampung seumpamanya di Rakhine.

Suu Kyi pula mendakwa majoriti Muslim di negeri Rakhine tidak menyertai penghijrahan Rohingya malah lebih 50 peratus kampung Muslim masih utuh.

Rakhine sudah dikepung tanpa akses bebas kepada orang luar, sesuatu yang dicadangkan Suu Kyi akan berubah memandangkan Myanmar tidak gentarkan sorotan antarabangsa.

Tatkala kisah orang awam Rohingya yang keletihan dan kelaparan berduyun-duyun ke Bangladesh telah mendominasi tajuk berita global, langsung tiada simpati bagi mereka kalangan majoriti Buddha Myanmar.

Kira-kira 30,000 etnik Buddha dan Hindu Rakhine juga telah melarikan diri susulan serangan pada 25 Ogos oleh Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA).

Ramai pihak di Myanmar menolak kewujudan etnik Rohingya, sebaliknya menegaskan mereka adalah Benggali, pendatang haram dari  Bangladesh.

Kebencian terhadap Rohingya menyaksikan penduduk Myanmar termasuk aktivis prodemokrasi terkemuka bersekutu dengan tentera yang pernah memijak mereka.

Mentaliti rampasan telah berleluasa di Myanmar di mana PBB, pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa dan media asing menjadi fokus kemarahan kerana didakwa berat sebelah dan pro-Rohingya.

Ucapan Suu Kyi disambut hangat di Myanmar.

“Beliau memaklumkan situasi sebenar kepada dunia bagi pihak rakyat Myanmar,” kata seorang penonton, Chan Myae, 27. — AFP

Advertisement