Anda di sini

Sistem pembayaran tanpa wang, Sarawak Pay dibangun

Advertisement
Abang Johari menerima cenderamata daripada Fu Jijun sambil disaksikan Datin Patinggi Dato Juma'ani Tuanku Bujang dan isteri Fu, Liu Sha.
Abang Johari menerima cenderamata daripada Fu Jijun sambil disaksikan Datin Patinggi Dato Juma'ani Tuanku Bujang dan isteri Fu, Liu Sha. - Foto Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak akan membangunkan sistem pembayaran digital yang dikenali sebagai Sarawak Pay dengan kerjasama syarikat multinasional China, Huawei.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia merupakan pengenalan terhadap teknologi baharu sistem kewangan yang akan digunapakai di negeri ini.

"Ternyata ia (Sarawak Pay) akan memberi impak kepada pertumbuhan industri negeri dengan adanya sistem pembayaran yang pantas dan berkesan," katanya.

Abang Johari mendedahkan perkara itu ketika menghadiri majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-68 Penubuhan Republik Rakyat China di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.

Konsul Besar China Di Kuching, Fu Jijun (dua kiri) ketika mengiringi Abang Johari yang tiba di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-68 Republik Rakyat China di Kuching semalam. Turut bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang, Dato Sri Wong Soon Koh (dua kanan).
Konsul Besar China Di Kuching, Fu Jijun (dua kiri) ketika mengiringi Abang Johari yang tiba di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-68 Republik Rakyat China di Kuching semalam. Turut bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang, Dato Sri Wong Soon Koh (dua kanan). - Foto Muhammad Rais Sanusi

Mengulas lanjut, beliau berkata sistem pembayaran tanpa wang ini telah digunapakai di beberapa negara seperti China, Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Kita akan bangunkan Sarawak Pay membolehkan kita memiliki e-wallet yang dapat dihubungkan kepada negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan China yang mempunyai sistemnya sendiri iaitu Alipay.

"Di China, kalau anda membeli barangan menggunakan wang tunai, mereka tahu anda adalah orang luar kerana masyarakat di sana (China) membuat pembayaran menggunakan telefon pintar," ujar Abang Johari.

Justeru, dengan sistem baharu tersebut, katanya, usahawan dan peniaga mampu menjalankan transaksi secara terus dalam persekitaran yang lebih selamat.

Sehubungan itu jelasnya, kerjasama dengan negara maju seperti China amat penting dalam merealisasikan perancangan yang dibuat untuk Sarawak beralih kepada negeri berteknologi.

Pada April lalu, Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Huawei bagi membangunkan teknologi digital.


 

  • oleh
  • Advertisement