Anda di sini

Semua pihak perlu sokong usaha k’jaan pelihara sungai

Advertisement
 Musa (tengah) merasmikan Persidangan dan Pameran Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2017 semalam.  Turut hadir Yahyah (dua kiri). — Gambar Bernama
RASMI: Musa (tengah) merasmikan Persidangan dan Pameran Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2017 semalam. Turut hadir Yahyah (dua kiri). — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Masyarakat dan pihak swasta perlu bekerjasama serta menyokong usaha kerajaan memulihara sungai di negeri ini bagi memastikan apa jua bentuk pembangunan tidak akan menjejaskan kelestariannya, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan sungai di negeri ini terus terpelihara, termasuk menjalankan inisiatif memulihara sungai dan persekitarannya yang telah terjejas akibat aktiviti yang dijalankan tanpa pelan mitigasi.

“Sungai adalah sumber kehidupan. Di Sabah, 95 peratus sumber utama bekalan air domestik adalah daripada sungai. Oleh itu kita perlu memastikan fungsi dan kepentingan sungai terus terpelihara.

“Pengurusan kawasan tadahan diharap dapat memastikan sungai di negeri ini akan terus terpelihara bagi memastikan fungsi dan peranannya dalam pembangunan negeri terus dikekalkan,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan dan pameran Hari Sungai Sedunia peringkat Negeri Sabah 2017, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalam Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.

Musa berkata manfaat sungai begitu besar dan bukan sahaja sebagai sumber air dalam kehidupan seharian, malah ia juga adalah satu daripada kaedah pengangkutan dan perhubungan masyarakat yang paling berkesan sebelum wujudnya jalan raya.

“Penglibatan pelbagai pihak terutamanya komuniti setempat dalam proses perancangan dan pelaksanaan program berkaitan sungai harus diperkasakan bagi memastikan program yang dijalankan memberi implikasi sosial ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.

Mengulas mengenai program itu, Musa berharap persidangan itu dapat meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan menjaga sumber asli di negeri ini bagi memastikan pembangunan di Sabah dijalankan dengan impak yang paling minima terhadap kelesterian persekitaran semulajadi termasuk sungai.

“Semoga objektif persidangan ini akan dapat dicapai dengan rekomendasi persidangan ini kelak diterjemahkan dilapangan untuk kebaikan semua pihak yang amat bergantung kepada sungai sebagai sumber kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata persidangan selama dua hari sehingga hari ini itu adalah anjuran kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama Institut Jurutera Malaysia, Sabah, sempena sambutan Jubli Emas JPS.

“Persidangan ini antara lainnya akan membincangkan mengenai permasalahan yang dihadapi khususnya isu-isu sungai di Sabah.

“Saya berharap persidangan mengenai sungai ini akan menjadi ruang perbincangan oleh semua pihak yang berkaitan bagi meningkatkan lagi pengurusan sungai di Sabah secara bersepadu dan mengambil langkah yang proaktif secara efisen dalam mengurus sungai di negeri ini,” katanya. — Bernama

Advertisement