Anda di sini

Sektor swasta Sarawak sokong penuh ekonomi digital

Advertisement
 Abang Johari (empat kanan) menunjukkan agenda yang dibincangkan semasa Dialog Ketua Menteri bersama wakil industri dan komuniti perniagaan mengenai ekonomi digital Sarawak. Turut kelihatan (dari kanan) Naroden, Morshidi, Awang Tengah, Uggah, Wong, Abdullah dan Ismawi.
DIBINCANGKAN: Abang Johari (empat kanan) menunjukkan agenda yang dibincangkan semasa Dialog Ketua Menteri bersama wakil industri dan komuniti perniagaan mengenai ekonomi digital Sarawak. Turut kelihatan (dari kanan) Naroden, Morshidi, Awang Tengah, Uggah, Wong, Abdullah dan Ismawi.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata sektor swasta di Sarawak menyokong penuh dan sanggup membantu merealisasikan usaha kerajaan negeri mentransformasikan ekonomi negeri ini kepada ekonomi digital.

“Dialog dan perbincangan berhubung ekonomi digital antara kami (pemimpin utama Sarawak dan industri serta komuniti perniagaan) sangat baik dan  peluang ini digunakan bagi menjelaskan ‘blue print’ (pelan) diambil kerajaan negeri untuk mentransformasikan ekonomi negeri yang ada sekarang kepada ekonomi digital.

“Secara keseluruhan sektor swasta menyatakan mereka menyokong dan sanggup membantu merealisasikannya untuk menjana pendapatan tinggi kepada Sarawak dan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dialog Ketua Menteri bersama wakil industri dan komuniti perniagaan mengenai ekonomi digital Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Beliau memberitahu bahawa semasa sesi dialog yang dihadiri kira-kira 60 wakil industri dan komuniti perniagaan, beberapa isu dibangkitkan antaranya bakat, keselamatan siber, analitik data, kejuruteraan molekul dan kejuruteraan perisian.

“Saya menjelaskan kepada mereka kita dalam usaha menyediakan modal insan yang dilengkapi pengetahuan diperlukan bagi membolehkan mereka mengambil bahagian seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital.

“Satu lagi subjek sangat penting ialah keselamatan siber, analitik data, kejuruteraan molekul dan kejuruteraan perisian. Ini adalah kursus baharu diperkenalkan oleh Yayasan Sarawak khas untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Menurutnya Sarawak tidak hanya mempunyai produk fizikal tetapi produk tidak nyata seperti perkhidmatan yang dipasarkan menerusi Internet.

Tambahnya generasi muda di Sarawak sangat berbakat menghasilkan produk menerusi kreativiti dan inovasi yang dapat dipasarkan menerusi aplikasi dicipta sendiri.

“Oleh sebab itulah kita telah mewujudkan Hab Inovasi Digital yang pertama di iCOM Square di Kuching, kedua di Sarikei dan bakal dibangunkan di kawasan lain seperti Betong, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.

“Hab inovasi ini akan dihubungkan dengan Kampung Digital di Samajaya, lokasi usahawan-usahawan berjaya berhubung dengan pasaran dunia,” jelasnya.

Abang Johari turut berkata semasa dialog itu peserta dimaklumkan mengenai Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November nanti.

SMA apabila diluluskan kelak akan mengawal selia semua aktiviti berkaitan ekonomi digital dalam usaha mentransformasikan ekonomi negeri ini kepada ekonomi digital pada masa akan datang.

Sementara itu, media dimaklum semasa sesi dialog Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkongsi mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan negeri, ekosistem ekonomi digital Sarawak dan pelan komprehensif untuk 17 bidang.

Bidang-bidang berkenaan ialah Undang-Undang dan Tadbir Urus, Digital Kerajaan, Data Digital, Keselamatan Siber, Infrastruktur Digital, Pertanian, Pelancongan, Pembuatan, Perkhidmatan dan e-Perdagangan, Kesihatan, Infrastruktur Fizikal dan Utiliti, Perumahan dan Pembangunan Bandar, Pengangkutan, Logistik dan Rantaian Bekalan, Pengurusan Bakat, Kampung Digital, Pusat Kecemerlangan dan Jurang Digital Komuniti.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Tengah Ali Hasan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosioekonomi) Datu Ismawi Ismuni.

  • oleh
  • Advertisement