Anda di sini

PTPTN sasar kutip balik RM4 bilion hingga akhir tahun ini

Advertisement

SHAH ALAM: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan untuk mengutip RM4 bilion dalam bentuk  bayaran balik pinjaman menjelang akhir tahun ini.

 Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN (Dasar dan Operasi) Mastura Mohd Khalid berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan perolehan kutipan bayaran balik berjumlah RM2.35 bilion yang direkodkan setakat Julai lepas.

“Kita menjangkakan peningkatan kutipan bayaran balik daripada peminjam seluruh negara pada setiap bulan berikutan usaha PTPTN dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan selain menyediakan pelbagai saluran dan kemudahan bayaran.

“Kemudahan pembayaran pinjaman dalam talian juga sentiasa diberi penekanan dan ditambah baik termasuk menerusi perkhidmatan ‘JomPAY’ yang diperkenalkan PTPTN sejak Oktober tahun lepas dengan melibatkan 42 bank-bank utama seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kios ‘JomPAY’ PTPTN di pejabat PTPTN Selangor di Seksyen 14, di sini semalam.

Beliau berkata ‘JomPAY’ merupakan satu lagi saluran bayaran balik melalui dalam talian yang mudah, cepat dan selamat selain tidak mengenakan caj perkhidmatan ke atas peminjam.

Mengulas lanjut, Mastura berkata bagi menggalakkan penggunaan ‘JomPAY’ dalam kalangan peminjam, PTPTN menyediakan kios ‘JomPAY’ di 20 cawangan PTPTN terpilih seluruh negara.

“Inisiatif ini merupakan hasil kolaborasi strategik PTPTN dengan pihak Ambank Islamic yang menyumbang 20 unit komputer riba untuk ditempatkan di kios-kiosPTPTN bagi menggalakkan penggunaan ‘JomPAY’ dalam kalangan pelanggan dan peminjam.

“Sejak diperkenalkan, mereka yang menggunakan saluran ‘JomPAY’ turut menunjukkan peningkatan dan bagi tempoh 1 Jan sehingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 298,925 transaksi direkodkan bagi bayaran balik pinjaman membabitkan RM72.47 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Mastura berkata sempena perasmian kios ‘JomPAY’ di pejabat PTPTN Selangor, pihaknya akan mengadakan kempen ‘JomPAY’ di pejabat itu bermula semalam sehingga 30 Sept.

Menerusi kempen itu, peminjam yang membuat transaksi bayaran di kiostersebut akan menerima pelbagai cenderahati istimewa daripada PTPTN, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. — Bernama

Advertisement