Anda di sini

Mayat pemancing ditemui tersangkut di akar kayu

Advertisement
 

BINTULU: Seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke sungai ketika menangkap ikan pada Jumaat lepas, ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 1.30 petang, kelmarin di Sungai Danum, Belaga, dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Belaga, DSP Melay Tinggom, mangsa dikenali sebagai Poul Alung dari Long Bangan Belaga, ditemui tidak jauh dari lokasi terakhir beliau dipercayai terjatuh dan tenggelam minggu lepas.

Katanya, pasukan SAR yang dibantu pekerja kem dan penduduk kampung, menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung dan tersangkut pada akar kayu tepi sungai.

"Semasa penemuan mayat berkenaan, pihak kita mendapati mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan dalam keadaan separuh bogel," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden berkenaan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang Jumaat lalu (15 September), mangsa dipercayai sedang mencari ikan di Sungai Danum sebelum terjatuh lalu tenggelam dibawa arus deras sungai berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement