Anda di sini

Lelaki didakwa cuba bunuh, cederakan anggota polis

Advertisement
 Leong diiringi anggota polis selepas didakwa di mahkamah dekat Ipoh, semalam atas enam pertuduhan pelbagai kesalahan termasuk cubaan membunuh dan mendatangkan kecederaan ke atas anggota polis pada September lalu. — Gambar Bernama
CUBA BUNUH: Leong diiringi anggota polis selepas didakwa di mahkamah dekat Ipoh, semalam atas enam pertuduhan pelbagai kesalahan termasuk cubaan membunuh dan mendatangkan kecederaan ke atas anggota polis pada September lalu. — Gambar Bernama

IPOH: Seorang lelaki didakwa di mahkamah secara berasingan di sini semalam atas enam pertuduhan bagi pelbagai kesalahan termasuk cubaan membunuh dan mendatangkan kecederaan ke atas anggota polis, Jumaat lalu. Leong Chee Kae, 45, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan satu pertuduhan di Mahkamah Majistret.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Leong didakwa cuba membunuh Inspektor Ishak Jumain, Lans Koperal V. Prabhakaran, Lans Koperal A. Puvandra, Inspektor Nizam Ab Latiff dan Koperal Yong Kok Vui, dengan menyimbah cecair dipercayai minyak tanah ke atas mereka dan cuba melemparkan lilin yang bernyala ke arah mereka.

Leong didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Ishak dengan menyatakan akan membakar beliau jika beliau menangkapnya selain sengaja mencederakan Puvandra dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Tertuduh yang tidak bekerja itu juga didakwa sengaja menghalang Ishak menangkapnya dengan melarikan diri masuk ke dalam rumah dan telah menggunakan perkataan kurang sopan dan aib terhadap Ishak.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Taman Tasek Jaya di sini, kira-kira jam 11 malam pada 15 Sept 2017. Bagi cubaan membunuh, Leong didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan manakala Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan masing-masing bagi kesalahan menakutkan secara jenayah dan mencederakan anggota polis.

Lelaki itu juga didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas manakala bagi kesalahan menggunakan perkataan kurang sopan pula dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Chiang Mei Wan.

Chiang memohon kepada mahkamah untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di sini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh sebulan kerana Leong mempunyai rekod perubatan berkaitan penyakit mental.

Bagaimanapun, Hakim Norashima Khalid membenarkan permohonan itu dan menetapkan 16 Okt untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan. Terdahulu, Leong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan seorang lelaki dengan sebilah parang di sebuah kedai kopi di Taman Klebang Restu di sini, kira-kira jam 3 petang pada tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman tersebut. — Bernama

Advertisement