Anda di sini

KWSP akan tingkat pelaburan dalam dana PE patuh Syariah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia meningkatkan pelaburannya dalam dana ekuiti swasta (PE) yang mematuhi Syariah, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  Pelaburannya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Bagaimanapun, beliau berkata dana berkenaan terhad.

Mohamad Nasir berkata dana pencen itu tidak memenuhi sasaran peruntukan aset sepenuhnya untuk segmen PEnya.

“Kami telah memperuntukkan 10 peratus daripada pelaburan kami dalam ruang alternatif yang terdiri daripada infrastruktur dan hartanah.

“Pelaburan PE kami kini berada pada empat peratus dan hanya separuh daripadanya dalam dana patuh Syariah,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat kekurangan dana sedemikian di pasaran domestik dan antarabangsa meskipun peningkatan permintaan dari negara-negara Islam.

Beliau berkata KWSP akan terus melabur dalam dana patuh Syariah dan konvensional secara serentak.

“Cabaran utama adalah mencari dana PE patuh Syariah.

“Kami akan terus meningkatkan pelaburan kami dalam dana konvensional, dan kami ingin menggalakkan lebih banyak dana patuh syariah untuk tersedia di pasaran,” kata Mohamad Nasir kepada Bernama di luar acara Forum AVCJ Private Equity Venture – Malaysia di sini semalam.

Bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2017, simpanan patuh Syariah KWSP berjumlah RM820.71 juta daripada RM11.51 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburannya, manakala RM10.69 bilion dijana daripada simpanan konvensionalnya.

Simpanan Syariah memperoleh pendapatannya semata-mata dari bahagian aset patuh syariahnya, sementara pendapatan dari simpanan konvensional dijana oleh aset patuh syariah dan bukan patuh syariah.

Setakat 31 Dis 2016, nilai aset pelaburan KWSP meningkat sebanyak 3.92 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM759.78 bilion daripada RM731.11 bilion.

Daripada jumlah aset pelaburan, sebanyak 47.71 peratus adalah pelaburan patuh Syariah manakala baki dilaburkan dalam aset tidak patuh syariah. — Bernama

Advertisement