Anda di sini

Dua sahabat dipenjara sehari, denda RM10,000 rasuah pegawai AADK

Advertisement

ALOR SETAR: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 masing-masing oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dua tahun lepas.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Goh Yee Chian, 28, dan Yong Kim Loong, 39, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa.

Hakim turut memerintah kedua-dua sahabat tersebut dipenjarakan enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan kedua-duanya didakwa secara rasuah memberikan suapan sebanyak RM1,500 kepada Pembantu Antidadah di AADK negeri ini Azmeer Syaufy Ruslan sebagai dorongan kepadanya menukarkan keputusan ujian saringan urin kali kedua mereka menjadi negatif di tandas awam Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu pada jam 10.30 pagi, 14 Ogos 2015.

Mereka didakwa menurut Seksyen 7(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dengan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Syahrul Khuzaini Amiruddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement