Anda di sini

200 jurulatih dan koordinator sukan sertai perjumpaan bersama Snowdan

Advertisement
 (Dari dua kanan) Chin, Andre, Ong dan Balbir bersama peserta seminar di Kuching Ahad lalu.
SEMINAR: (Dari dua kanan) Chin, Andre, Ong dan Balbir bersama peserta seminar di Kuching Ahad lalu.

KUCHING: Kira-kira 200 jurulatih dari seluruh negeri dan koordinator sukan menyertai sesi perjumpaan bersama Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dan seminar kejurulatihan di sini Ahad lalu.

Seminar anjuran Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu turut disertai jurulatih dari pelbagai pusat pembangunan, kecemerlangan dan elit dari seluruh negeri.

Panel kejurulatihan terdiri Ahli Lembaga Penasihat Panel Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah Institut Sukan Negara (ISN), Dr Balbir Singh dan Dr Chin Ngien Siong.

Ia turut disertai pakar kecergasan dari ISN Kuala Lumpur, Andre Richards.

Selain menyampaikan ceramah, panel terlibat turut mendapatkan maklum balas daripada jurulatih.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSC Dr Ong Kong Swee berkata SSC menganjur kursus kejurulatihan di Sarawak sebagai persiapan menghadapi SUKMA 2018 yang akan diadakan di Perak.

Beliau turut mengingatkan jurulatih-jurulatih bahawa prestasi perlu diberi keutamaan dalam aspek pemilihan atlet-atlet dan mereka perlu telus serta tidak memilih berdasarkan kriteria lain.

Katanya, atlet-atlet dipilih perlu menunjukkan keputusan memberangsang mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) manakala mereka gagal mencapai tahap ditetapkan mungkin berdepan kontrak ditamatkan.

“Pencapaian perlu diutamakan dan jurulatih-jurulatih harus bersikap telus dalam pemilihan atlet-atlet.

“Mereka perlu bersedia berdepan cabaran dan belajar daripada kesilapan.

Dua prinsip asas ini akan membantu Sarawak muncul semula sebagai kuasa sukan di negara ini jika atlet-atlet berpegang teguh dengannya,” kata Ong.

Pada seminar tersebut, Dr Balbir menyampaikan ceramah mengenai penekanan terhadap program pembangunan kejurulatihan secara komprehensif yang menjadi teras setiap persatuan sukan untuk mencapai kecemerlangan.

Advertisement