Anda di sini

Tirai Para ASEAN disingkap gilang gemilang

Advertisement

Seramai 325 atlet dan 167 pegawai kontinjen M’sia melangkah masuk penuh semangat

 Kontinjen Malaysia berarak masuk pada Majlis Pembukaan Sukan Para Asean Ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin. — Gambar Bernama
BERSEMANGAT: Kontinjen Malaysia berarak masuk pada Majlis Pembukaan Sukan Para Asean Ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Suasana gilang-gemilang kembali mewarnai Stadium Nasional Bukit Jalil selepas 16 tahun Malaysia kembali menjadi tuan rumah kepada 1,421 atlet para yang akan bertanding temasya Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) bermula malam kelmarin.

 Upacara perasmian dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera 11 negara Asia Tenggara yang menyertai temasya dwitahunan itu bersama dengan Bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN dan bendera edisi kesembilan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), didahului oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 Penganjuran yang bertemakan ‘Bangkit Bersama’ itu turut memperkenalkan maskot Rimau Para berkerusi roda.

 Acara perarakan mengikut susunan abjad yang dimulai dengan perarakan masuk kontinjen Brunei yang diketuai oleh Rosmadee Md Daud bersama-sama 27 atlet, diikuti Kemboja dibarisi oleh Yi Veasna dan 70 atlet.

 Perarakan masuk kontinjen diteruskan dengan 191 atlet Indonesia, seterusnya Laos (50), Myanmar (120), Filipina (110), Singapura (90), Thailand (287), Timor Leste (13) dan 138 atlet Vietnam.

 Malaysia, selaku tuan rumah diberi penghormatan menjadi kontinjen terakhir berarak masuk ke stadium, diketuai oleh Datuk R.

 Subramaniam bersama-sama tiga pemegang bendera Jalur Gemilang iaitu dua juara dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh).

 Kontinjen negara seramai 325 atlet dan 167 pegawai berwajah seri dengan persalinan baju kurung pesak dan baju Melayu moden berinspirasikan warna Jalur Gemilang rekaan pereka tersohor, Cosry, melangkah masuk dengan penuh semangat.

 Atlet para negara menyertai 16 jenis sukan untuk meraih sasaran 103 pingat emas, sekali gus mengintai gelaran juara keseluruhan di laman sendiri.

 Pencapaian terbaik kontinjen negara di Sukan Para ASEAN adalah pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah dengan meraih 132 pingat emas, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

 Majlis diteruskan dengan persembahan dari The Beautiful Gate Foundation, Persatuan Syndrome Down Malaysia, United Voice Self Advocacy Society of Persons with Learning Disabilities Selangor & Kuala Lumpur, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah yang turut juga disertai oleh penari Sayang Farah Sulaiman.

 Ia diserikan lagi dengan persembahan pemain piano autistik, Clarence Kang mengiringi paparan ilustrasi hasil nukilan anak-anak dari Persatuan Syndrome Down Malaysia yang memaparkan perspektif mereka tentang Sukan Para ASEAN.

 Stadium Nasional bergema dengan sorakan gemuruh apabila penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa Yuna yang mendendangkan lagu bertajuk ‘Rescue’.

 Upacara perasmian kemudiannya meniti kemasyuran silam apabila bekas-bekas jaguh dan lagenda sukan negara tampil ditengah-tengah stadium diikuti upacara menaikkan bendera APSF dan bendera kejohanan.

 Selepas ucapan presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) Mej. Jen. Osoth Bhavilai majlis dilengkapi dengan pengumuman pengisytiharan perasmian APG KL2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Razak.

 Turut hadir pada upacara perasmian itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) SM Nasarudin SM Nasimuddin dan penaung MPM, Tun Jeanne Abdullah.

 Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh jaguh powerlifting negara, Sharifah Raudzah Syed Akil yang mewakili semua atlet bertanding.

 Obor menandakan KL2017 bermula secara rasmi dinyalakan dengan diketuai pemenang pingat perak Sukan Paralimpik London 2012, Hasihin Sanawi, Muhammad Afiq Afify Rizan (pingat gangsa kejohanan Berbasikal Para Dunia 2017), Krishna Kumar Haridas (pingat perak 400m Sukan Para ASEAN Singapura), Siti Radiah Ismail (pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio) dan Fraiden Dawan (pingat emas 400m gaya bebas Sukan Asia 2010).

 Serentak dengan itu persekitaran Stadium Nasional Bukit Jalil diterangi dengan percikan bunga api.

 APG KL2017 menawarkan 368 pingat emas dalam 16 acara sukan, iaitu acara sukan terbanyak yang dipertandingkan pada temasya APG. — Bernama

Advertisement