Anda di sini

Skuad Uniti dilancar sebagai responden pertama ketika berlaku kemalangan

Advertisement
 Chan (tiga kanan) menerima cenderahati daripada Jambri selepas merasmikan Skuad Uniti Daerah Sandakan.
DILANCAR: Chan (tiga kanan) menerima cenderahati daripada Jambri selepas merasmikan Skuad Uniti Daerah Sandakan.

SANDAKAN: Skuad Uniti dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sandakan diwujudkan sebagai responden pertama ketika berlaku kemalangan dan bencana alam sebelum tibanya bantuan.

Berikutan itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat Elopura Chan Tzun Hei berkata, ahli skuad perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan bantuan kecemasan daripada agensi penyelamat.

Fungsi dan peranan ahli skuad akan memainkan peranan yang amat penting dan boleh selamatkan nyawa dalam waktu kecemasan.

Namun, mereka perlu bertindak atas keupayaan dan keyakinan diri sendiri serta tidak berlagak hero dalam menyelamatkan nyawa. Jangan objektif menyelamat dan beri bantuan kepada orang tetapi sendiri pula menjadi bebanan kepada orang lain untuk diselesaikan tambah lagi kesukaran dan bebanan agensi penyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Skuad Uniti Daerah Sandakan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Bilik Nunuyan, Dewan Masyarakat Sandakan di sini, kelmarin.

Usaha penubuhan Skuad Uniti dari KRT Sandakan adalah satu usaha transformasi yang amat baik dan relevan JPNIN untuk mempelbagai aktiviti KRT selain program kemasyarakatan, tabika dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Penubuhan skuad uniti itu perlu didaftar sebagai anggota dalam Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Sandakan bagi menambah tenaga ketika berlaku bencana alam.

Sejurus dengan syarat umur menjadi ahli skuad iaitu 18 hingga 55 tahun, maka program itu boleh menjadi satu platform yang baharu kepada KRT untuk menarik lebih ramai anggota terutama kaum belia yang suka kepada aktiviti lasak dan penyelamat.

Selaras itu, Chan berharap agar skuad uniti itu akan menjadi agensi responden utama yang akan difikirkan oleh masyarakat apabila perlukan bantuan.

Skuad Uniti ditubuhkan dengan objektif untuk mengurus dan mengurangkan tekanan situasi kecemasan dan kritikal dalam komuniti dengan kadar segera melalui jaringan kerjasama strategik pelbagai agensi berkaitan; meningkatkan semangat muhibah, cintakan negara dan rasa kekitaan melalui pendampingan sosial dan pelbagai jaringan kerjasama; dan meningkatkan pemahaman dalam aspek kebudayaan serta cara hidup masyarakat berbilang kaum untuk mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Hadir sama, Pegawai Perpaduan Daerah Sandakan Jambri Giau, Ketua Balai Bomba Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad dan wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sandakan Otoh Sibik.

Advertisement