Anda di sini

Selepas 12 tahun berjuang

Advertisement

Skuad Goalball lelaki negara akhirnya menamatkan badi menang ke atas Thailand

 Pemain goalball negara Muhammad Amirul Ahmad beraksi menentang Thailand sempena Para ASEAN Kesembilan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama
MANTAP: Pemain goalball negara Muhammad Amirul Ahmad beraksi menentang Thailand sempena Para ASEAN Kesembilan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Skuad Goalball lelaki negara akhirnya menamatkan badi rekod tanpa menang kepada Thailand di temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-9, selepas mencatatkan kemenangan 13-7 dalam aksi liga sepusingan, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

 Ia merupakan kemenangan pertama Malaysia ke atas juara bertahan itu selepas 12 tahun beraksi di temasya sukan bagi atlet kelainan upaya itu, apabila lima kali dikecewakan Thailand di peringkat akhir APG (2005, 2007, 2011, 2014 dan 2015).

 Jurulatih pasukan Abdul Karim Raham berkata, kejayaan itu dicapai dengan prestasi memberangsangkan dan kerja keras yang ditunjukkan oleh para pemain, selain latihan intensif selama 10 hari di China pada awal bulan lalu.

 “Pemain menunjukkan prestasi terbaik hari ini (semalam) dan menjadi pembuka semangat kepada pasukan dalam usaha meraih pingat emas pertama kami. Prestasi begini yang saya harapkan daripada mereka kerana tahu Thailand memang pasukan yang paling kuat di ASEAN.

 “Kami agak risau kerana Thailand kalahkan kami dengan ‘Game Over’ 10- 0 pada pusingan awal dan ‘Game Over’ pada final di Singapura dua tahun lalu. Malah, semalam pula mereka menewaskan Myanmar 13-3 dalam masa sembilan minit,” katanya kepada Bernama.

 Abdul Karim berkata satu lagi cabaran getir dalam peringkat kumpulan adalah menentang Indonesia esok, selepas menewaskan Laos 16- 6 pada aksi sulung semalam.

 Selain Indonesia, skuad negara akan turut berlawan dengan Filipina esok, Myanmar (Rabu) dan melengkapkan jadual menentang Kemboja (Khamis), iaitu empat pasukan teratas akan mara ke peringkat separuh akhir.

 Sementara itu, skuad wanita negara yang membuat penampilan pertama di APG, berjaya mengatasi kekalahan 3-9 di tangan Laos semalam untuk mengikat Myanmar 7- 7 dalam aksi kedua peringkat liga sepusingan 1 wanita.

 Jurulatih Nagoor Meera Abdullah tidak menolak kemungkinan jika anak buahnya meneruskan prestasi itu, mereka dapat meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa, walaupun tidak diletakkan apa-apa sasaran ke atas mereka.

 “Pemain saya menampilkan aksi yang lebih yakin dan bersemangat hari ini berbanding semalam. Kami mempunyai peluang untuk menang, tetapi beberapa kesilapan seperti bola atas dan kelewatan dalam membuat serangan menyebabkan penalti,” katanya.

 Skuad itu seterusnya akan bertemu juara bertahan Thailand esok untuk melengkapkan pusingan 1, sebelum kembali bertemu Myanmar (Selasa), Thailand dan Laos (Khamis) pada pusingan 2 liga itu.

 Dalam pertandingan goalball, tiga pemain cacat penglihatan akan beraksi dalam satu-satu masa untuk membaling bola untuk menjaringkan gol dalam gawang lawan, iaitu bola tersebut akan mengeluarkan bunyi apabila bergerak untuk membolehkan para pemain mengenal pasti posisi bola tersebut. — Bernama

Advertisement