Anda di sini

Kementerian yakin eksport benang getah prarawat dan tayar celup capai RM130 juta

Advertisement

NILAI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yakin eksport bagi benang getah prarawat dan tayar celup negara mampu mencapai sasaran sebanyak RM130 juta pada tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, eksport benang getah prarawat dan tayar celup melonjak 16.5 peratus kepada RM61 juta bagi separuh pertama tahun ini, berbanding RM52.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Saya yakin sasaran tahun ini boleh dicapai dan antara usaha untuk merealisasikannya ialah kita mesti terus mempertingkatkan kualiti produk melalui kajian penyelidikan dan pembangunan.

Produk yang berkualiti tinggi menentukan kekuatan kita dalam industri ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Goodway Integrated Industries Bhd, di sini semalam.

Datu Nasrun berkata, tayar celup keluaran kilang di negara ini bermutu tinggi kerana diproses mengikut piawaian yang ditetapkan kerajaan dan kualitinya seolah-olah seperti tayar baharu.

Penambahbaikan produk terutamanya tayar celup perlu seiring dengan harga yang kompetitif dan berpatutan, bagi memberi manfaat yang terbaik kepada pengguna terutama jika dibandingkan dengan pilihan membeli tayar baharu dan berjenama.

Kerajaan akan terus membantu menyediakan persekitaran yang mesra perniagaan dan dasar yang menyokong perniagaan supaya industri benang getah prarawat dan tayar celup akan terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 15 buah syarikat tempatan yang mengeluarkan benang getah prarawat dan 70 buah syarikat mengeluarkan tayar celup.

Walaupun menghadapi persaingan sengit daripada tayar import, industri benang getah prarawat dan tayar celup negara dapat mengekalkan eksport mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement