Anda di sini

Batuk menjurus nahas

Advertisement

Lelaki warga emas terbunuh kereta dipandu rempuh tiang lampu.

 Bahagian kereta mangsa selepas merempuh tiang lampu jalan dipercayai hilang kawalan.
REMUK: Bahagian kereta mangsa selepas merempuh tiang lampu jalan dipercayai hilang kawalan.

SIBU: Seorang lelaki warga emas terbunuh apabila kereta yang dipandunya merempuh sebatang tiang lampu jalan di sini pagi semalam.

Mangsa dikenali Tan Lian Chay, 66, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Tiga penumpang lain iaitu isteri dan adik ipar mangsa serta seorang kanak-kanak lelaki hanya mengalami kecederaan ringan.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi di Jalan Teng Chin Hua di sini ketika mangsa dalam perjalanan pulang menghantar anak menuntut di sebuah kolej di sini.

Semasa menghala ke pusat bandar, kereta dipandu mangsa merempuh tiang lampu jalan setelah gagal mengawal pemanduan akibat diserang batuk berterusan.

Rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta mangsa remuk selain hampir mencetuskan kebakaran.

Asap dilaporkan keluar dari bahagian enjin kenderaan terbabit dan keadaan itu mencetuskan reaksi pantas pekerja sebuah stesen petrol berdekatan.

Pekerja di stesen petrol terbabit bertindak menyembur alat pemadam api ke arah kepulan asap di bahagian enjin kereta mangsa.

Isteri mangsa dan adiknya turut bertindak mengangkat mangsa serta kanak-kanak lelaki keluar dari kereta.

Orang awam menyaksikan kejadian malang itu turut menghulurkan bantuan.

Turut bergegas ke tempat kejadian pihak polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Malaysia Malaysia (APM).

Tiga mangsa cedera ringan dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan susulan.

Mayat mangsa turut dibawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat.

 Ahli keluarga ditenangkan anggota APM yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
TRAGIS: Ahli keluarga ditenangkan anggota APM yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
  • oleh
  • Advertisement