Anda di sini

Suasana meriah dan sedih rai persaraan Guru Besar SK Kampung Jepak Ali

Advertisement
__alt__

SUASANA hiba namun tetap meriah diadakan sempena Majlis Meraikan Persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak, Ali Sabri Saberi Ali Khan yang bertemakan Meniti Memori Jasa Bakti di Dewan Sri Jepak SK Kampung Jepak dan Hotel Kemena Plaza pada 23 Ogos lalu.

 Ali Sabri yang kini berusia 60 tahun bersara wajib pada 29 Ogos 2017 tepat pada hari kelahirannya 29 Ogos 1957.

 Beliau yang berbangsa Melanau Vaie beragama Islam adalah pemegang jawatan Guru Besar DG38.

 Latarbelakang pendidikan dan kelulusan akademik beliau adalah Senior Cambridge (1975) SMK Bintulu dari tahun 1971 hingga 1975, kelulusan ikhtisas adalah pemegang Sijil Perguruan Asas (Kepujian) Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas, Jalan Cheras Kuala Lumpur.

 Pengkhususan beliau adalah dalam bidang Pengajian Melayu dan Pendidikan Seni.

 Beliau mempunyai pengalaman mengajar selama 39 tahun serta mula dilantik sebagai Guru Besar pada tahun 1987.

 Beliau mendapat latihan perguruan asas di Maktab Perguruan Ilmu Khas Jalan Cheras Kuala Lumpur dari tahun 1977-1979.

 Beliau telah bertugas sebagai guru terlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau dari Mei 1979 sehingga 31 Disember 1984, sebagai guru akademik biasa dan ketua warden.

 Pada 1 Januari 1985, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan dipindahkan ke SK Bukit Balai Tubau Sebauh Bintulu.

 Beliau telah melalui banyak cabaran sekali gus telah mematangkannya sebagai seorang guru dari sekolah menengah yang kemudiannya dinaikkan pangkat dalam jawatannya seterusnya ditugaskan mengajar di sekolah rendah di SK Bukit Balai sebagai penolong kanan guru sehingga 31 Januari 1987.

 Berkat kejujuran dan keikhlasan menabur jasa dan bakti sebagai pendidik pada 1 Februari 1987, beliau kemudiannya telah dilantik sebagai guru besar di SK Pandan sehingga 31 Julai 1994.

 Begitupun pada 1 Ogos 1994, beliau telah dipindahkan ke SK Sebauh namun dilantik untuk memegang jawatan sebagai penolong kanan guru sehingga 31 Disember 2001.

 Kemudian pada 1 Januari 2002, beliau telah dipindahkan ke SK Bintulu juga berjawatan penolong kanan sehingga 31 Mei 2003.

 Setelah menimba banyak pengalaman sebagai penolong kanan termasuk sebagai guru besar, pada 1 Jun 2003, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan guru besar semula dan dipindahkan ke SK Hermanus Assan.

 Di situ beliau telah berkhidmat sebagai guru besar dengan lebih gigih sehingga 30 September 2005.

 Kemudian pada 1 Oktober 2005, beliau telah dipindahkan ke SK Kuala Tatau sehingga 19 Disember 2011.

 Mulai 20 Disember 2011, beliau telah bertugas di SK Sungai Tisang sehingga 31 Januari 2015.

 Mulai 7 Januari 2015 beliau telah mula berkhidmat di SK Kampung Jepak sehingga kepada persaraannya 27 Ogos 2017 iaitu tarikh rasmi beliau bersara wajib.

 Antara pencapaian dan khidmat masyarakat yang telah dilakukan oleh Ali Sabri ialah aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, menjadi ahli pertubuhan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan pasukan sukarela.

 Sumbangan inovatif, kreatif, bakat dan kemahiran beliau sebelumnya juga pernah menjadi penyanyi mewakili Sarawak semasa Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia di Putra World Trade Centre Kuala Lumpur pada tahun 2004.

 Penyanyi semasa Konsert Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Konsert Kesyukuran tahun 2008, 2009 dan 2010 di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang lama serta menyumbang dalam pelbagai program antaranya mengetuai lafaz ikrar program bahasa kebangsaan, minggu belia peringkat negeri 1998, hari kebangsaan peringkat negeri 31 Ogos 1999 di padang Dewan Suarah Bintulu, penceramah jemputan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional (LPPKN) Sarawak dan pembimbing kumpulan koir Maksak Bintulu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan PPD Tatau.

 Ali Sabri turut aktif terlibat sebagai pengacara pelbagai program besar di Bintulu antaranya Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu (BIKF), sebagai ketua tempat mengundi pilihan raya 2011 di samping turut menerima penghargaan, pengiktirafan dan anugerah dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

 Anugerah yang diterimanya adalah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia 2008, Pingat Perkhidmatan Setia 2010 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015.

 Terdahulu majlis meraikan persaraan Ali Sabri yang ditemani isterinya telah diadakan di SK Jepak itu dimulai dengan tarian Seloka Selamat Datang, nyanyian lagu Negaraku Ibu Pertiwiku, lagu Fly Kenyalang Fly dan lagu sekolah.

 Diikuti bacaan doa oleh Ust Mohd Zakaria Abu Bakar, ucapan wakil murid Watson Bandang, ucapan Penolong Kanan Pentadbiran Hashimah Wahab, ucapan Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan PPD Bintulu, Awangku Ali Udin Pengiran Adenani, persembahan guru, murid, tayangan montaj khas untuk yang diraikan, ucapan berkisar pengalaman Menyelusuri Denai Waktu, upacara pemotongan kek ulang tahun dan persaraan, penyampaian watikah persaraan dan cenderamata.

 Selain itu adalah sesi melakar sejarah menandatangani buku persaraan, bersalamsalaman dengan murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan tetamu yang hadir, perarakan keluar meninggalkan sekolah dengan diiringi lambaian kasih.

 Turut hadir pada majlis itu pengetuapengetua, guru-guru besar, penolong-penolong kanan, guru-guru, ibu bapa, ketua-ketua masyarakat setempat dan penduduk setempat.

  • oleh
  • Advertisement